Khamis, 24 Mac 2011

Telefon bimbit Teoh disimpan kerana kecoh di Plaza Masalam

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memberitahu Suruhanjaya Siasatan Kematian Teoh Beng Hock bahawa beliau terpaksa menyimpan telefon bimbit milik mendiang dan tidak menyerahkannya kepada pihak polis berikutan berlaku kekecohan di bangunan Plaza Masalam pada ketika itu.

Mohd Anuar Ismail berkata beliau gagal menyerahkan telefon bimbit itu kepada pihak polis dengan segera kerana bimbang keselamatannya terancam.

"Saya takut untuk turun ke bawah kerana ramai orang awam dan wartawan yang memenuhi ruang legar lobi dan di luar bangunan berkenaan. "Ada di antara mereka membawa sepanduk yang tertera ''SPRM Pembunuh Rakyat Malysia'' sehingga jeritan dan laungan mereka boleh didengari di pejabat SPRM di tingkat 14 bangunan itu," katanya.

Ketika disoal bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.Selventhiranathan mengapa perlu takut keselamatan terancam sedangkan ramai anggota polis mengawal keadaan ketika itu, Mohd Anuar berkata:"Saya berasa tidak selamat kerana ketika itu "demonstration was beyond control".

Mohd Anuar, yang juga saksi ke-23 suruhanjaya itu berkata beliau telah diarahkan oleh Timbalan Pengarah SPRM, Hishamuddin Hashim supaya telefon bimbit itu diserahkan kepada pihak polis dengan segera selepas memaklumkan kepada Hishamuddin telefon itu berada di atas meja di dalam biliknya.

Beliau menjelaskan selepas gagal menyerahkan telefon itu kepada pihak polis, beliau telah meminta seorang pegawai SPRM bernama Mohan untuk menghubungi pegawai penyiasat polis bagi memaklumkan perkara itu, namun gagal.
Ketika disoal peguam S.Sivaneindiren dari Majlis Peguam mengapa beliau meminta Mohan menghubungi pegawai penyiasat itu, Mohd Anuar berkata: "Mohan mendakwa beliau mempunyai nombor pegawai itu".

Beliau turut menafikan menyimpan telefon bimbit itu kerana ingin memeriksa dan melihat sama ada Teoh menghantar SMS atau bukti kepada orang lain.

"Telefon bimbit itu dijumpai bersama beg sandang di atas sofa selepas rakaman percakapan Teoh dan selepas saya gagal menjumpai Teoh, kedua-dua barang itu saya simpan di dalam bilik saya," katanya.

Mohd Anuar juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam Cheow Wee dari Majlis Peguam bahawa beliau tidak membuat laporan polis mengenai kejadian yang berlaku di bangunan Plaza Masalam kerana bimbang kewujudan telefon bimbit itu akan diketahui.

Selain itu, beliau juga tidak bersetuju dengan dakwaan Sivaneindiren yang menyatakan Mohd Anuar singgah di rumahnya dalam perjalanan ke Putrajaya adalah untuk menenangkan diri selepas mengetahui kematian Teoh.

"Saya singgah di rumah di Puchong untuk memaklumkan mengenai perkara yang terjadi kepada isteri," katanya.

Mohd Anuar menjelaskan kepada suruhanjaya itu bahawa tindakannya menutup telefon bimbit selepas berjumpa dengan isterinya adalah kerana tidak mahu diganggu dengan panggilan daripada orang lain.

Suruhanjaya ini dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, Pakar Perunding Psikiatri Forensik Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom dan Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM di tingkat 14 bangunan itu. - BERNAMA


 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger