Khamis, 24 Mac 2011

Pulih persepsi, tingkatkan kredibiliti tumpuan PDRM

KUALA LUMPUR 24 Mac - Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan menyambut ulang tahun ke-204 esok, semakin agresif menyusun strategi bagi memperkukuhkan perkhidmatannya seterusnya mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap kredibiliti serta integriti pasukan itu.


Di bawah kepimpinan Tan Sri Ismail Omar, yang mula mengemudi PDRM sejak enam bulan lepas, pasukan itu dilihat semakin giat menangkis sentimen antipolis dan persepsi serong masyarakat yang ada antaranya cuba mencabar kewibawaan pasukan keselamatan itu.


Namun, pasukan beruniform biru yang tidak mengenal erti putus asa itu semakin optimis dan melipatgandakan usaha bagi meneruskan kesinambungan kejayaan dalam menurunkan angka ancaman jenayah di dalam negara.


Ismail percaya keyakinan masyarakat terhadap PDRM boleh dikembalikan dan akan datang dengan sendiri selari dengan kejayaan yang dilakar serta usaha bersungguh pasukan itu dalam memerangi jenayah.


"PDRM sering menjadi medium melepas amarah, mereka berang bila disaman, mereka marah bila rumah dirompak malah ada yang antipolis serta memandang enteng pada keupayaan pasukan polis.


"Meskipun ini menjadi antara cabaran utama yang perlu dihadapi PDRM namun saya percaya keyakinan itu boleh dikembalikan dengan langkah agresif yang akan diambil PDRM pada tahun ini untuk mengurangkan jenayah," katanya dalam temubual khas di Bukit Aman. - Bernama

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger