Khamis, 24 Mac 2011

Mayat warga emas ditemui separuh rentung dalam kereta

BUTTERWORTH: Mayat seorang lelaki warga emas ditemui separuh rentung dalam keretanya yang terbakar di tepi jalan di Jalan Solok Tuna di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Abd Lah, berkata mangsa Jagjit Singh, 70, dipercayai keluar minum bersama empat rakannya sebelum kejadian itu.

"Punca kematian belum diketahui kerana polis sedang menunggu hasil siasatan bomba," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Beliau berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Khaw Kee Leong, 42, pemilik kedai makan yang dikunjungi lelaki itu sebelum kejadian pada jam 12.30 tengah hari itu berkata, beliau dimaklumkan oleh pekerjanya bahawa ada sebuah kereta sedang terbakar.

"Saya ambil alat pemadam api bagi membantu memadamkan kebakaran dan semasa memadamkan api baru saya perasan ada orang dalam kereta itu.

"Lelaki itu kelihatan lemah. Jam 8 pagi tadi dia (mangsa) singgah di kedai saya untuk minum bersama empat rakannya," katanya.
Anak saudara lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Dave berkata, bapa saudaranya itu sudah lama tinggal seorang diri di sini kerana isteri dan anaknya menetap di Singapura.

"Dia tidak mempunyai pekerjaan dan pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan," katanya. - BERNAMA


 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger