Selasa, 29 Mac 2011

Kejayaan GTP diakui penilai antarabangsa: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata makluma balas positif daripada Jawatankuasa Penilaian Prestasi Antarabangsa terhadap Program Transformasi Kerajaan (GTP) menjadi bukti kredibiliti kerajaan dalam melaksanakan perkara yang telah digariskan.


Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah untuk mendapatkan pengesahan pakar antarabangsa sebelum mengumumkan Laporan Tahunan GTP 2010 kelmarin adalah persediaan kerajaan dalam menghadapi putar belit daripada pembangkang yang mendakwa laporan GTP itu sebagai retorik semata-mata.

"Kita tahu pembangkang akan pusing fakta, tetapi yang penting ialah untuk mereka melihat dan menilai laporan tahunan itu yang terkandung pelbagai perkara. Kalau mereka lihat satu persatu mereka akan tahu apa pencapaiannya," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama kepimpinan belia, badan bukan kerajaan (NGO), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan dan Rela di Ampang sempena lawatan sehari beliau ke Selangor.

Jawatankuasa Penilaian Prestasi Antarabangsa baru-baru ini mengakui bahawa GTP telah mencapai kejayaan di luar jangkaan selepas semua enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mencapai sasaran yang ditetapkan.


Jawatankuasa itu yang dianggotai individu dari pelbagai latar belakang dan kepakaran yang berbeza di peringkat antarabangsa turut mengakui bahawa GTP telah mendorong transformasi sebenar yang boleh dan akan dialami oleh rakyat pada masa depan dan kerajaan telah mencapai sasaran hebat pada tahun pertama GTP, penyampaian (keberhasilan besar yang pantas) sejak mula lagi.


Mereka juga memuji langkah mewujudkan sistem pemantauan dan penilaian kemajuan di semua peringkat di sektor kerajaan termasuk di peringkat Perdana Menteri serta memberi ulasan yang positif kepada NKRA dalam mempertingkatkan pencapaian pelajar, isi rumah berpendapatan rendah, membanteras rasuah dan mengurangkan jenayah.
Muhyiddin berkata, walaupun rakyat kini mungkin belum dapat merasai sepenuhnya kejayaan transformasi yang dilaksanakan, kerajaan mempunyai cara untuk menilai keberkesanannya.


"Usaha kita untuk melaksanakan transformasi tidak akan terhenti setakat ini, sebaliknya ia akan berterusan dan kita harap tahun depan kesannya akan lebih terasa," katanya. Muhyiddin berkata, semua program yang dilakarkan oleh kerajaan berasaskan fakta dan demi kepentingan rakyat, berbeza daripada manifesto pembangkang melalui Buku Jingga mereka yang lebih kepada gimik politik semata-mata.


"Kita tidak lakar sesuatu program atas awang-awangan tetapi mesti berasaskan kenyataan dan fakta mana yang boleh dilakukan. Mereka (pembangkang) reka bentuk Buku Jingga mungkin bertujuan politik. Kalau rakyat terpedaya, mungkin mereka boleh menang, tetapi boleh buat atau tidak (janji dalam Buku Jingga) itu bagi mereka soal lain. Bagi saya Buku Jingga ini bukan rancangan atau pendekatan yang baik, tetapi boleh memberi kesan buruk kepada negara," katanya.


Mengulas tanggungjawab barunya sebagai teraju utama memimpin dan menyelia Program Transformasi Kerajaan (GTP) sehingga tahun akhir pelaksanaannya pada 2012, Muhyiddin berkata beliau akan terus memantau setiap peringkat bidang NKRA yang ditetapkan bagi menjamin kejayaan transformasinya. - BERNAMA


kredit

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger