Jumaat, 25 Mac 2011

FELDA perlu perlawanan ujian

Elavarasan mahu pemain kekal momentum ketika aksi Liga Super rehat

PENYINGKIRAN daripada kancah Piala FA dan saingan liga yang sedang berehat memberikan FELDA United masa mengatur perlawanan persahabatan untuk mengekalkan tahap kecergasan pemain bagi meneruskan aksi kecemerlangan dan menghadapi jadual padat Liga Super, bulan depan.


Jurulatihnya, E Elavarasan berkata, skuad itu mungkin akan mengatur satu atau dua perlawanan persahabatan menjelang jadual Liga Super yang disambung semula awal bulan depan, namun setakat ini FELDA United masih belum mengenalpasti lawan sesuai untuk perlawanan persahabatan terbabit.

“Setakat ini latihan berjalan seperti biasa tetapi ekoran rehat liga yang agak panjang ini, saya merasakan kami perlu adakan beberapa perlawanan persahabatan untuk terus mengekalkan momentum prestasi serta memastikan pemain sentiasa pada tahap cergas untuk beraksi,” kata jurulatih yang lebih mesra dengan panggilan Ela itu. “Jika kami berjaya meneruskan kemaraan ke separuh akhir Piala FA ketika menentang Kelantan dulu, kami mungkin tidak perlukan perlawanan persahabatan, tetapi keadaannya kini berbeza.”

FELDA United kini menduduki tangga kedua carta Liga Super selepas mengumpul 14 mata daripada tujuh perlawanan, sama seperti pendahulu carta Kelantan dan pasukan di tangga ketiga Selangor, tetapi dibezakan oleh jumlah jaringan.


Mengulas prestasi agak membanggakan dalam kemunculan sulung di saingan Liga Super setakat ini, Ela berkata dia tidak mahu terbawa-bawa dengan pencapaian itu kerana bagi dirinya perjalanan skuadnya masih jauh, selain masih belum berdepan ujian sebenar bertemu pasukan handalan seperti Selangor.


“Apapun, saya gembira kerana pemain menunjukkan persefahaman dan peningkatan dalam setiap aksi walaupun skuad kami dibarisi 15 muka baru,” katanya. Untuk aksi Liga Super seterusnya, Felda United akan menentang Perak di gelanggang lawan pada 2 April.


 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger