Sabtu, 26 Mac 2011

Calon muda terpelajar untuk Padungan - Taib

KUCHING - Barisan Nasional (BN) Sarawak akan meletakkan seorang calon muda terpelajar untuk merebut kembali kerusi panas Padungan, salah satu dari empat kerusi di Kuching yang terlepas kepada pembangkang, pada pilihan raya negeri 16 April depan.


Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, parti komponen negeri itu telah membuat keputusan muktamad mengenai calon yang mampu menang bagi kawasan itu yang pernah menjadi kubu kuat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).


Namun BN Sarawak hanya akan mendedahkan identiti calon selepas Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya negeri Mei 2006 mengumumkan calonnya, kata Taib, yang juga pengerusi BN negeri kepada wartawan selepas merasmikan program Sejiwa Senada bahagian Kuching Selatan di sini hari ini.


Dalam pilihan raya itu, kawasan yang didominasi masyarakat Cina itu dimenangi oleh Dominique Ng dari PKR dengan majoriti 1,033 selepas meraih 8,002 undi berbanding penyandang kerusi dari SUPP, Lily Yong yang hanya mendapat 6,585 undi.


Spekulasi kini tersebar yang menyebut bahawa ahli SUPP cawangan Kuching, Sim Kiang Chiok dijangka akan diumumkan sebagai calon BN untuk Padungan pada 5 April, menjelang hari pencalonan. - Bernama

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger