Sabtu, 26 Mac 2011

BN boleh menang di Sarawak - Ku Li

GUA MUSANG 26 Mac - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yakin Barisan Nasional (BN) kekal memerintah Kerajaan Negeri Sarawak pada pilihan raya negeri itu 16 April depan.


Bagaimanapun, kata beliau, hanya untuk mendapat majoriti besar mungkin sukar berikutan penduduk kawasan bandar itu kurang memberi sokongan kepada BN disebabkan terpengaruh dengan isu pembangkang.


"BN mendapat sokongan kuat daripada penduduk luar bandar negeri itu kerana masih memerlukan banyak pembelaan daripada kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agong UMNO Cawangan Lebir di sini, hari ini.


Tengku Razaleigh berkata, pandangan awal mengenai kedudukan pilihan raya negeri Sarawak itu diperolehi daripada rakan-rakan yang sudah pergi ke sana menjelang hari penamaan calon 6 April ini.


"Saya juga mungkin akan pergi ke sana bagi membantu jentera pilihan raya negeri berkenaan dan ingin melihat sendiri kedudukan sebenar kekuatan BN," kata Ketua UMNO bahagian Gua Musang itu. - Bernama

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger