Sabtu, 12 Februari 2011

Capello berdepan dilema penyerang

COPENHAGEN - Pengurus England, Fabio Capello mengakui, beliau berdepan kesukaran untuk membuat keputusan mengenai siapa harus dipilih sebagai penyerang pertama ekoran prestasi baik yang dipamerkan Ashley Young dan Darren Bent ketika membantu skuad Three Lions itu membenam Denmark 2-1 dalam aksi persahabatan, semalam.

Young, yang baru-baru ini menerima perubahan posisi dari sayap ke serangan ketika bersama Aston Villa, dibawa masuk dari bangku simpanan di Stadium Parken sebelum menjaringkan gol antarabangsa pertamanya.

Jaringan kemenangan itu hadir selepas rakan sepasukannya di Villa, Bent menyamakan kedudukan England, yang terdahulu ketinggalan 1-0 hasil tandukan tonggak pertahanan Denmark, Daniel Agger.

Kemenangan itu meletakkan England di landasan terbaik menjelang aksi getir kelayakan Kejohanan Eropah (Euro) 2012 menentang Wales di Cardiff, bulan depan. England sudah pun tewas kepada Perancis dan seri dengan Montenegro dalam dua perlawanan terdahulu.

Semalam, Young dan Bent menenggelamkan dua penyerang utama England, Wayne Rooney dan Jermain Defoe, sekali gus meningkatkan persoalan, siapa akan dipilih Capello untuk menghadapi aksi kelayakan bulan depan. Jurulatih kelahiran Itali itu juga masih mempunyai dua lagi pilihan, penyerang baru Liverpool, Andy Carroll yang akan pulih ketika itu dan penyerang Tottenham, Peter Crouch.

"Ia sesuatu yang bagus, saya harap begitu. Harapan saya, pemain-pemain yang akan beraksi pada perlawanan akan datang menunjukkan prestasi sebaik hari ini.

"Persaingan sangat kompetitif di kalangan semua pemain untuk memburu tempat kerana semua mereka boleh bermain bagus. Tidak mudah untuk saya memilih ketika ini, melihat kepada prestasi baik pemain sekarang,'' akui Capello.

Young telah bermain 11 kali bersama England sebelum ini tetapi semuanya sebagai pemain sayap. Namun semalam, Capello cukup gembira dengan permainan yang dimainkan oleh pemain itu di posisi serangan.

"Saya banyak melihat perlawanan Aston Villa dan posisi barunya, dia sangat bagus kerana mampu bermain dengan bebas.

"Dia boleh berlari ke mana yang dia mahu, dia sangat pantas, bagus secara teknikal dan amat bahaya kepada lawan.. dia juga boleh menggelecek, memiliki rembatan deras serta hantaran yang bagus. Dia pemain yang baik,'' kata Ancelotti.

Ketika ditanya apakah dia sedia menggugurkan Rooney, Capello tidak melihat kedudukan bintang penyerang Manchester United itu sebagai terancam. "Tidak. Sudah tentu saya mahu menurunkan pemain yang saya kenal, seperti Rooney, Bent, Carroll, Defoe dan Crouch.

"Saya telah memutuskan salah satu daripada pemain-pemain ini akan beraksi, bergantung kepada prestasi mereka,'' katanya. - AFP

sumber: utusan
 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger