Sabtu, 12 Februari 2011

Azizulhasni sasar final pecut

KORAT - Jaguh keirin negara, Azizulhasni Awang akan memulakan aksi Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2011dalam acara pecut individu hari ini, dengan sasaran layak ke final.

Menurut Azizulhasni, dia tidak mahu terburu-buru memikirkan sasaran emas kerana menyedari halangan sukar bakal diterima daripada pelumba China dan Jepun, yang menjadi pilihan acara tersebut.

Katanya lagi, kejayaan pelumba negara memungut empat perak (remaja) dan dua gangsa (elit) setakat ini, menguatkan lagi keazamannya untuk memberikan aksi terbaik.

"Sebenarnya acara ini (pecut individu) sepatutnya berlangsung semalam (kelmarin) tetapi ditangguhkan atas sebab yang saya tidak tahu.

"Namun ia tidak menjejaskan tumpuan saya sebaliknya memberi saya masa untuk membuat persediaan dan menyesuaikan diri dengan permukaan trek velodrom yang tidak begitu rata.

"Jepun dan China sememangnya menjadi pilihan dalam acara pecut individu ini, namun itu tidak bermakna mereka adalah pemenang mutlak.

"Saya pun berpeluang dalam acara ini tetapi perkara pertama yang harus saya sasarkan ialah melepasi saingan peringkat separuh akhir,'' katanya.

Mengulas mengenai perbezaan beraksi di atas trek simen yang tidak rata berbanding trek latihan biasanya yang mempunyai permukaan kayu, Azizulhasni menjelaskan, ia tidak memberi masalah besar.

"Cuma pecutan atas trek permukaan bersimen agak perlahan berbanding di trek permukaan kayu.

"Ia tidak menjadi masalah cuma permukaan litar di sini tidak rata yang menjejaskan sedikit kayuhan. Untuk itu," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai percaturan ketua jurulatih kebangsaan John Beasley yang tidak menurunkannya dalam acara pecut berpasukan kelmarin, Azizulhasni berkata, dia tidak meragui keputusan jurulatih itu.

Trio pecut berpasukan yang dibarisi Josiah Ng, Edros Yunus dan Rizal Tisin memenangi pingat gangsa kelmarin.

sumber: utusan
 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger