Memaparkan catatan dengan label selesa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label selesa. Papar semua catatan

Jumaat, 22 April 2011

Arsenal 'sesak', Chelsea selesa

LONDON: Secara lojik Arsene Wenger pasti sudah membuat satu kesimpulan betapa peluang tipis Arsenal menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) akan berakhir andai mereka tewas kepada Tottenham Hotspur, hari ini.

Lebih perit, kedudukan mereka di tangga kedua juga bakal terlucut jika Chelsea yang menentang Birmingham di Stamford Bridge pada hari yang sama menang untuk memintas kelab seteru dari London.

Apapun, penjaga gol Arsenal, Wojciech Szczesny tidak mahu mengalah dalam situasi getir ini - apa lagi mengerti dia dan rakan sepasukan masih terasa ‘gegaran’ selepas Liverpool menafikan mereka kemenangan berharga di Emirates pada saat-saat terakhir, minggu lalu. “Sudah pasti kami masih percaya mampu memenangi gelaran, Kami akan menentang Manchester United dan mereka juga akan menentang Chelsea. Mereka juga boleh mencicirkan mata,” katanya.

Sementara itu, perancang Chelsea, Frank Lampard juga degil apabila menyuarakan peluang mereka belum berakhir mendakap trofi EPL.


“Misi ini memang sukar,” kata pemain skuad England itu. “ Tapi ini bukan bererti kami tidak mampu mengejarnya. Kami perlu menang perlawanan kami dan mereka tewas beberapa perlawanan. Perkara mustahil seperti ini boleh berlaku dalam bola sepak.” - Agensi


kredit

Rabu, 23 Mac 2011

Penduduk Kuala Lumpur selesa jenayah berkurangan

KUALA LUMPUR - Para penduduk mendapati inisiatif pasukan Polis Diraja Malaysia untuk mengurangkan kadar jenayah di kawasan panas atau 'hot spot' di sekitar bandar raya ini melalui inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara mendatangkan hasil yang diharapkan.


Sebelas kawasan yang dikenali sebagai kawasan hot spot di sekitar ibu kota ialah Bukit Bintang, Jalan Pudu, Brickfields, Kuchai Park, Taman Midah, Taman Connaught, Alam Damai, Bandar Sri Permaisuri, Jinjang Utara, Metro Prima Kepong dan Danau Kota.


Misalnya Ahli Jawatankuasa Penyelaras Rukun Tetangga Daerah Sentul, Raja Shah Aminuddin Raja Shahminan merasakan jenayah di kawasan perumahan sudah mula menurun.


"Waktu malam sekarang, jenayah di kawasan perumahan sudah pun berkurangan hasil daripada rondaan yang dilakukan oleh Rukun Tetangga dan juga pihak polis," katanya.


Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia cawangan Brickfields berkata bagi mengurangkan lagi jenayah, pihak polis perlu turut membuat lebih banyak rondaan di waktu siang.


"Kerana di waktu siang, biasanya jenayah akan berlaku kerana penduduk keluar rumah untuk bekerja," katanya kepada Bernama.


"Kalau dulu banyak juga kejadian curi motosikal yang berlaku saya dengar di kawasan perumahan di sini. Namun sejak adanya rondaan polis yang menaiki MPV dan motosikal, kejadian tersebut semakin berkurangan.


"Saya berharap perkara ini dapat berterusan sampai bila-bila, yang mana tidak ada kes jenayah yang berlaku lagi," kata Fazreen Mahmud yang tinggal di Taman Midah, Cheras.


Di kawasan Bukit Bintang yang turut terkenal dengan tumpuan pelancong asing dan sering berlaku kegiatan meragut, juga mengalami keadaan yang lebih menyenangkan.


Pelancong dilihat tidak merasa bimbang untuk bersiar-siar sehingga larut malam sambil membelek-belek barangan yang dijual di tepi-tepi jalan.


"Kalau dulu saya selalu dengar kes-kes ragut sering berlaku di kawasan Bukit Bintang ini, namun tidak seperti sekarang. Saya percaya ia disebabkan oleh anggota polis yang selalu membuat rondaan di kawasan sini," kata Nadir Zainal, seorang jurujual di Bukit Bintang.


Keadaan jenayah yang semakin berkurangan di ibu kota Kuala Lumpur diakui oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah.


"Sememangnya jenayah di kawasan hot spot di Kuala Lumpur telah berkurangan setelah pelbagai usaha dibuat oleh pihak polis yang sentiasa berusaha menangani jenayah daripada berlaku.


"Antara usaha yang dibuat ialah kaedah tradisional, kerjasama dengan penduduk dan juga dengan pelbagai agensi seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.


"Kaedah tradisional yang saya maksudkan ialah kita ada polis yang membuat tugas-tugas bit yang berjalan kaki, kita ada anggota yang meronda dengan menggunakan motosikal, MPV dan sebagainya," kata Zulkifli.


Beliau berkata usaha untuk mengesan penjenayah secara 'intelligence' iaitu dengan mengesan mereka yang dikehendaki atau disyaki oleh polis juga dibuat.


"Yang ini kita akan mengumpul maklumat. Apabila anggota kita keluar dan berjumpa dengan masyarakat, kita ada menyerahkan mereka kad-kad nama anggota-anggota kita supaya kalau ada perkara yang mereka syak mereka akan menyalurkan maklumat itu kepada kita," katanya.


Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid juga berkata, kadar jenayah di kawasan perumahan seperti di Taman Seri Sentosa yang merupa kawasan hot spot di Brickfields berjaya dikurangi hasil dari pelbagai inisiatif yang dilakukan.


"Antara yang kita buat ialah berinteraksi dengan masyarakat dan membuat operasi bersepadu. Dan Alhamdulillah, kini kadar jenayah di kawasan tersebut berjaya dikurangi," kata beliau. - Bernama

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger