Memaparkan catatan dengan label sekolah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sekolah. Papar semua catatan

Khamis, 22 September 2011

Kondom Dalam Beg Sekolah Anak

berita berita terkini
HULU SELANGOR – Luluh hati seorang ibu apabila menemui kondom dalam beg sekolah anak gadisnya yang berusia 15 tahun sebelum gadis itu membuat pengakuan ada melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya.

Difahamkan, pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di daerah ini terkedu dan menangis sebaik mendedahkan perkara itu kepada ibu bapanya.

Gadis terbabit yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menjalin cinta dengan lelaki berusia 20 tahun dan dipujuk melakukan hubungan seks selepas beberapa bulan perkenalan.

Berikutan itu, ibu bapa mangsa membawa remaja terbabit membuat laporan di balai polis berhampiran selain dihantar ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan.

Menurut sumber, bertindak atas laporan dan keputusan pemeriksaan, polis menahan teman lelaki remaja itu di rumahnya di Ampang Pecah, di sini, semalam.

Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, mangsa keluar bersama teman lelakinya kelmarin sebelum dibawa pulang ke rumah lelaki terbabit.

“Kira-kira jam 6 pagi, mangsa diajak melakukan hubungan seks ketika keluarga teman lelakinya tiada di rumah.

“Selepas itu, teman lelaki mangsa menghantarnya pulang ke rumah kira-kira jam 2 petang tanpa diketahui keluarga mangsa,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang juga teman lelaki remaja itu ditahan di rumahnya dan direman mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy mengesahkan penahanan suspek dan siasatan lanjut dilakukan.

[mymetro]

Jumaat, 5 Ogos 2011

Shahrizat: Pelajar tak patut sertai motivasi ‘ala penjara’

KUALA LUMPUR, 5 Ogos — Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menegaskan pihak pengurusan sekolah sepatutnya tidak menghantar pelajar untuk menyertai kursus motivasi di penjara ekoran aduan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda, Johor Baru minggu lalu.


Berikutan kursus motivasi itu sekumpulan 32 pelajar mendakwa melalui pengalaman mengerikan apabila ditendang, ditumbuk, malah ada yang berkata mereka digari dan dikurung dalam sel tahanan oleh warden ketika mengikuti kem motivasi “ala penjara” anjuran sekolah di Penjara Kluang pada 29 hingga 31 Julai lalu.


Sepanjang tiga hari program berlangsung, kumpulan pelajar tingkatan satu, dua dan empat sekolah berkenaan mendakwa dilayan umpama banduan apabila makanan mereka dicatu, diarah berbogel, melakukan ketuk ketampi dan tekan tubi berulang kali serta hukuman lain setiap kali melakukan kesalahan.


Selain itu, kesemua pelajar berkenaan turut dicukur umpama banduan sebenar.


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pelajar-pelajar tidak sepatutnya diberi pendedahan kepada kursus motivasi sedemikian.


“Kementerian menegaskan bahawa program kursus motivasi di penjara seperti ini tidak dapat menjamin keberkesan dalam membendung masalah penyalahgunaan dadah dan penglibatan jenayah di kalangan kanak-kanak. 


“Kajian antarabangsa juga mendedahkan bahawa kesan daripada program seperti itu gagal untuk menghalang kanak-kanak daripada terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan jenayah, sebaliknya akan menggalakkan mereka untuk bertindak sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Justeru jelas beliau, pengurusan sekolah sepatutnya mengadakan kursus motivasi yang sesuai dengan peringkat umur pelajar.


“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat lebih cenderung mengesyorkan pendekatan pemulihan untuk jenayah kanak-kanak dilakukan, yang mana pendekatan ini boleh mengembalikan mereka kepada kehidupan biasa melalui latihan semula serta rawatan yang bersesuaian untuk membaiki kesilapan yang telah dilakukan pada masa lalu.


“Ini juga bermakna bahawa pendekatan pemulihan akan dapat meningkatkan kesedaran kepada kanak-kanak dan risiko kepada mereka apabila melakukan kesalahan jenayah, pada peringkat awal lagi,” katanya.


Shahrizat juga mengingatkan bahawa sesiapa yang melakukan penderaan terhadap kanak-kanak boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali, mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001.


“Juga di bawah Seksyen 319 Kanun Keseksaan, kesalahan menyalahgunakan individu termasuk kanak-kanak seperti menyebabkan penderaan boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara dua tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.


Bagaimanapun Jabatan Penjara menafikan dakwaan 32 pelajar lelaki itu didera secara fizikal semasa menyertai kursus motivasi di Penjara Kluang.


Ketua Pengarah Penjara Datuk Zulkifli Omar berkata hasil siasatan awal mendapati dakwaan para pelajar terbabit bahawa mereka ditumbuk, dipukul dan mendapat layanan di luar daripada batasan adalah tidak benar.


Bagaimanapun, katanya siasatan terperinci sedang dijalankan.


kredit

Gara-gara langgar arahan, guru tertoreh kepala pelajar

KUALA TERENGGANU, 4 Ogos — Seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di Marang cedera di kepala selepas tertoreh pisau yang dipegang seorang guru dalam kejadian tengah hari semalam.

Akibat kejadian 12 tengah hari itu, Mohd Hafirza Mujahid menerima lima jahitan di sebelah kiri kepalanya.

Guru berusia 55 tahun tersebut ditahan polis kira-kira 12 jam kemudian.

Kejadian dipercayai berlaku apabila pelajar terbabit melanggar arahan guru lelaki tersebut yang tidak membenarkannya keluar kelas ketika dia sedang mengajar.

Berang dengan perbuatan pelajar itu, guru terbabit menjejaki Mohd Hafirza sambil memegang sebilah pisau kecil.

“Guru itu akhirnya menjumpai pelajar berkenaan di sebuah kelas lain dan ketika cuba menarik tangan pelajar tersebut untuk kembali ke kelas, berlaku sedikit pergelutan menyebabkan pisau yang dipegang guru itu secara tidak sengaja telah tertoreh kepala pelajar terbabit,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan dipetik Bernama Online.

Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Sementara itu, ibu mangsa Zawiyah Ibrahim, 49, memberitahu dia kecewa dengan tindakan guru terbabit.

“Kalau boleh, saya tidak mahu lagi ustaz terbabit mengajar di sekolah berkenaan kerana risau peristiwa yang terjadi kepada anak saya akan berulang kepada pelajar lain,” katanya.


kredit

Isnin, 28 Mac 2011

Terengganu rancang kelas maya di semua sekolah

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu merancang untuk mewujudkan kelas maya di semua sekolah di Terengganu dalam tempoh lima tahun akan datang. Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata menjelang akhir tahun ini saja kerajaan negeri akan mewujudkan 32 buah kelas maya iaitu di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu.

"Terpulang kepada wakil rakyat atau Pegawai Pembangunan DUN (PPD) untuk memilih sekolah mana untuk dibuka kelas maya di kawasan mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pengetua, guru besar dan Pegawai Teknologi Maklumat (EIO) di sini hari ini. Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Razali Daud.

Ahmad berkata, untuk mewujudkan kelas maya ia memerlukan peruntukan antara RM25,000 dan RM30,000 untuk setiap kelas. "Diharapkan ia boleh menggunakan peruntukan menerusi bantuan am dan bantuan projek kecil yang diperuntukkan kepada wakil rakyat atau PPD," katanya.


Beliau berkata, setiap wakil rakyat atau PPD diberikan peruntukan untuk projek kecil sebanyak RM1 juta manakala bagi bantuan am pula sebanyak RM500,000. Katanya, ketika ini Terengganu mempunyai tiga kelas maya iaitu di Sekolah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir dan Sekolah Kebangsaan Paya Bunga, kedua-duanya di sini manakala sebuah lagi di Sekolah Kebangsaan Teluk Kalong, (Kemaman).


Pengajaran kelas maya merujuk kepada pengunaan peralatan multimedia secara interaktif dan guru tidak lagi menggunakan papan putih atau papan hitam, sebaliknya menggunakan "smart board" yang dihubungkan terus ke talian internet dan e-Book murid.


Smart board itu juga mempunyai ciri-ciri skrin sentuh untuk menukar sesuatu halaman dan boleh mengesan kesilapan yang dilakukan murid. - BERNAMA


kredit

Rabu, 23 Mac 2011

Pelajar Cina dapat A Tasawwur Islam

KUALA TERENGGANU 23 Mac - Seorang pelajar berbangsa Cina mencatatkan sejarah tersendiri apabila memperoleh A bagi mata pelajaran Tasawwur Islam dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang keputusannya diumumkan hari ini.

Wong Yujing, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, adalah antara 17 pelajar cemerlang Terengganu yang mendapat 10A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi dan Tasawwur Islam.

"Mata pelajaran Tasawwur Islam saya ambil kerana minat dan ingin tahu mengenai agama Islam,” kata anak sulung daripada tiga beradik ketika ditemui pemberita di sekolahnya di sini hari ini.

Katanya, beliau berminat mengikuti mata pelajaran tasawwur sejak di tingkatan empat lagi dan dia banyak dibantu oleh rakan-rakan Melayu yang mengikuti mata pelajaran itu.

Yujing dari Kampung Gong Badak berkata, beliau membaca buku teks mata pelajaran tasawwur dan cuba memahaminya dengan mendalam. - Bernama

Keputusan SPM bukti program Tawaran Baru beri kesan positif

PUTRAJAYA: Pencapaian keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini, jelas menunjukkan program Tawaran Baru yang dilaksanakan antara sekolah dan Kementerian Pelajaran memberikan kesan positif dalam usaha meningkatkan prestasi sekolah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud, berkata ini berdasarkan kepada penurunan bilangan sekolah dengan pencapaian sekolah berpotensi pada tahun lalu melebihi 50 peratus berbanding 2009 iaitu daripada 143 sekolah kepada 66 sekolah.

Justeru itu, beliau berkata satu majlis khas untuk mengumumkan nama sekolah terbaik serta pelajar cemerlang akan diadakan di Lembaga Peperiksaan Malaysia, Jalan Duta Kuala Lumpur, pada 1 April, yang dijangka dirasmikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Rumusan kementerian juga mendapati sebahagian besar sekolah berada dalam kategori pencapaian sekolah Cemerlang, Baik dan Memuaskan," katanya pada sidang media untuk mengumumkan analisis keputusan SPM di sini hari ini.

Beliau berkata, pada tahun lalu, 67 sekolah dikategorikan cemerlang berbanding 66 pada 2009, 340 baik berbanding 278 dan 1,683 lagi sekolah di bawah kategori memuaskan berbanding 1,654.

"Semua pihak yang terbabit khususnya pentadbir dan guru-guru sekolah berjaya memainkan peranan masing-masing dengan efektif dan efisyen hingga dapat melahirkan pelajar yang berupaya mencapai kecemerlangan akademik," katanya.

Tawaran baru atau bai'ah itu adalah empat bidang kecil di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pendidikan, menawarkan guru besar ganjaran RM7,500, diikuti lima peratus daripada jumlah keseluruhan guru di sekolah terbabit menerima RM1,800 manakala baki guru lain mendapat RM900, petugas sokongan seperti kerani juga diberi imbuhan setimpal. - BERNAMA

SPM: Kelantan catat keputusan terbaik dalam tempoh 7 tahun

KOTA BHARU 23 Mac - Kelantan mencatat keputusan terbaik dalam tempoh tujuh tahun pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 yang diumumkan hari ini dengan Gred Purata Negeri (GPN) mengatasi peringkat nasional iaitu 5.15 berbanding 5.19.

Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang berkata, sebanyak 93.73 peratus daripada 35,594 calon yang menduduki peperiksaan itu layak mendapat sijil, berbanding 91.2 peratus di peringkat nasional.

Beliau berkata, seramai 278 calon mendapat keputusan cemerlang dengan enam orang memperoleh semua A bagi setiap mata pelajaran yang diambil.

Katanya, enam calon cemerlang itu ialah Faiz Ziad Zainuddin dan Liew Hong Kheng kedua-duanya dari Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu yang memperoleh 10A ; Song Chai Lin dari Sekolah Menengah Kebangsaan (C) Chung Hwa, Kota Bharu juga 10A .

Turut memperoleh keputusan cemerlang ialah Muhamad Izzat Syameer Mohd. Zaid dari Sekolah Menengah Agama Lati, Pasir Mas (11A ); Imran Ariffin dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Bemban, Pasir Mas dan Salina A/P Sangguan (10A ) dari SMK Sultan Ibrahim (1), Pasir Mas, masing-masing 10A .

"Pada tahun ini terdapat 59 buah sekolah mengatasi peratus calon yang layak mendapat sijil peringkat negeri dengan 22 sekolah mencapai kelulusan 100 peratus berbanding 18 buah sekolah tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengumumkan keputusan peperiksaan SPM 2010 di Jabatan Pelajaran Negeri di sini, hari ini. - Utusan
 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger