Memaparkan catatan dengan label perkara. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label perkara. Papar semua catatan

Ahad, 3 April 2011

Lynas: Banyak perkara Adnan kena tanya

KUANTAN, 2 Apr: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob seharusnya telah berusaha mendapatkan satu kajian dan pandangan dari satu badan bebas berkenaan impak pembinaan loji pemprosesan Lynas. Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berpendapat bahawa penerangan yang diterima oleh Adnan berhubung perkara itu merupakan taklimat yang tidak cukup menyeluruh kerana industri pemprosesan 'rare earth' merupakan industri yang melibatkan pelbagai bidang kepakaran dan juga melibatkan pembuatan dasar dari pelbagai kementerian.


Di dalam surat terbuka kepada menteri besar itu, beliau berkata Adnan seharusnya telah berusaha mendapatkan satu kajian dan pandangan dari satu badan bebas berkenaan impak pembinaan loji itu serta impak operasi pemprosesan nanti kepada keselamatan awam, kesihatan, kehidupan kekeluargaan dan sosial, ekonomi dan mata pencarian rakyat setempat, alam sekitar serta kesan terhadap kualiti kehidupan bagi rakyat di kawasan Kuantan.


Katanya, antara persoalan yang harus telah ditanya oleh menteri besar itu kepada pihak pakar ialah kenapa tiada negara di dunia melainkan China telah bersetuju untuk membenarkan logi pemprosesan 'rare earth' dibina di negara mereka sejak 3 dekad kebelakangan ini. Tambahnya, Adnan juga harus bertanya kepada jirannya, Menteri Besar Trengganu berkenaan pendirian kerajaan negeri itu berkaitan permohonan Lynas Corporation untuk membina loji yang sama di Teluk Kalung, Kemaman pada 2007.


Katanya lagi, Adnan harus bertanya berkenaan sisa pepejal (leach purufication solids) hasil dari pemprosesan yang akan mengandungi bahan thorium - bagaimanakah ianya akan diuruskan dan peraturan apakah yang akan digunapakai oleh Lynas. “Adakah Solid Radiactive Waste Management yang akan diamalkan oleh Lynas apabila bermula operasi akan menepati piawaian negara China atau piawaian British atau piawaian Australia? Piawaian mana yg akan diguna pakai nanti?” soalnya yang juga Naib Presiden PKR.


Selain itu, menteri besar juga harus bertanya kepada pakar, apa kesan sisa yang mengandungi radioaktif kepada alam sekitar dan seterusnya terhadap industri perikanan di kawasan Kuantan, memandangkan Sungai Balok berada di persekitaran Gebeng.


“MB juga harus meminta kaji selidik dijalankan tentang bagaimanakah nanti persepsi pelancong terhadap keselamatan mereka sekiranya mereka memilih Kuantan sebagai destinasi percutian sama ada mereka akan masih tertarik dan berminat untuk datang ke Cherating bercuti di sebelah logi pemprosesan rare earth,” katanya. Katanya, memandangkan loji pemprosesan itu nanti akan menjadi loji terbesar di dunia selain yang ada di negara China yang semua tahu tidak diambil berat tentang piawaian pemeliharaan alam sekitar, maka persoalan di atas amat penting.


Soalnya lagi, bagaimana pula impak terhadap industri keropok lekor dan ikan bakar serta industri ikan masin di Kuantan, adakah akan lebih semarak atau nanti akan juga mengalami impak negatif daripada kekurangan kunjungan pelancong. Beliau menjangka Adnan hanya boleh berpuas hati setelah mendapat jawapan yang menyenangkan dari kesemua persoalan di atas. “Amanah kepimpinan ialah amanah besar dan rakyat mengharapkan pemimpin untuk bertindak telus serta bertanggungjawab,” katanya.


kredit

Khamis, 24 Mac 2011

Hanya 19 perkara dalam Interlok dianggap sentuh sensitiviti: TPM

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju dengan Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok yang mendapati hanya 19 perkara daripada 106 bentuk cadangan pindaan boleh dianggap menyentuh sensitiviti masyarakat India.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata panel bebas itu berpendapat baki 87 perkara lagi adalah tidak berkaitan dengan isu pokok termasuk cadangan supaya nama penulis dipaparkan pada kulit hadapan novel dan ejaan "tali" dipinda kepada "taali".

"Daripada 19 perkara yang boleh dianggap sensitif ini pula, tiga daripadanya adalah berkaitan dengan penggunaan perkataan kasta yang telah dianggap selesai kerana penulis telah bersetuju untuk menggugurkan perkataan itu (paria) dalam novelnya. "Tiga perkara lagi iaitu yang berkaitan dengan fakta lembu sebagai binatang suci orang Hindu, keselamatan isteri Maniam di India dan upacara perkahwinan yang digambarkan sebagai meletihkan juga telah selesai," katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Abd Rahman Bakri (BN-Sabak Bernam) bersama empat lagi pertanyaan Ahli Parlimen lain pada persidangan Dewan Rakyat berhubung kedudukan novel Interlok karya Sasterawan Negara yang menjadi teks Komponen Sastera (KOMSAS) dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu.


Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, daripada 13 perkara yang berbaki, tujuh perkara dapat diselesaikan apabila Panel Bebas mencapai kata sepakat untuk memasukkan "errata" di dalam novel terbabit bagi membuat pembetulan dan pengguguran terhadap beberapa frasa yang dianggap sensitif dalam amalan kebudayaan dan keagamaan masyarakat India.


Katanya, enam perkara lain juga telah dapat diselesaikan kerana penulis sekali lagi telah bersetuju untuk meminda perkata "tuhan" kepada perkataan "dewa" dan menggugurkan frasa "orang berkulit hitam" daripada novel itu.  "Oleh yang demikian, semua ahli panel termasuk wakil masyarakat India telah bersetuju untuk menyerahkan perkara ini kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penerbit untuk membuat suntingan yang wajar kepada novel ini dalam cetakan akan datang," katanya.


Selain itu, katanya, kementerian akan menyediakan satu glosari untuk memperjelaskan beberapa frasa dan konsep yang terkandung dalam novel Interlok bagi memudahkan murid memahami teks dan konteks novel yang memaparkan kehidupan yang harmoni dalam masyarakat pelbagai kaum di negara kita.


"Alhamdulillah, dengan persetujuan yang dicapai oleh Panel Bebas dan perakuan yang dikemukakan kepada kerajaan, isu ini telah dapat diselesaikan dengan baik. Ini adalah satu testimoni yang amat nyata bahawa di negara kita tidak ada satu isu yang tidak boleh diselesaikan melalui meja perundingan.


"Dengan semangat musyawarah dan muafakat serta kesediaan untuk mendengar dan menerima, kita telah buktikan bahawa serumit manapun kemelut yang kita hadapi, kita dapat mengharunginya dengan tabah dan sabar.


"Episod Interlok ini menjadi bukti kepada kita betapa semangat perpaduan, penerimaan dan hormat menghormati antara kaum selaras dengan Gagasan 1Malaysia terus subur di negara kita," katanya.


Muhyiddin berkata, Interlok adalah sebuah karya kreatif yang menggabungkan fakta sejarah sosial dan imaginasi pengarang.


Katanya, melalui adunan realiti dan imaginasi, novel itu cuba memaparkan suatu bentuk kehidupan yang harmoni dalam masyarakat pelbagai kaum di Tanah Melayu sebelum Merdeka. - BERNAMA


19 perkara sensitif dalam Interlok

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju dengan dapatan Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok (Panel Bebas) yang mendapati hanya 19 perkara daripada 106 bentuk cadangan pindaan boleh dianggap menyentuh sensitiviti masyarakat India.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, panel bebas itu berpendapat baki 87 perkara lagi adalah tidak berkaitan dengan isu pokok termasuk cadangan supaya nama penulis dipaparkan pada kulit hadapan novel dan ejaan "tali" dipinda kepada "taali?" "Daripada 19 perkara yang boleh dianggap sensitif ini pula, tiga daripadanya adalah berkaitan dengan penggunaan perkataan kasta yang telah dianggap selesai kerana penulis telah bersetuju untuk menggugurkan perkataan itu (Paria) dalam novelnya.


"Tiga perkara lagi iaitu yang berkaitan dengan fakta lembu sebagai binatang suci orang Hindu, keselamatan isteri Maniam di India dan upacara perkahwinan yang digambarkan sebagai meletihkan juga telah selesai," katanya.


Muhyiddin berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Abd Rahman Bakri (BN-Sabak Bernam) bersama empat lagi pertanyaan anggota Parlimen lain pada persidangan Dewan Rakyat berhubung kedudukan novel Interlok karya Sasterawan Negara yang menjadi teks Komponen Sastera (Komsas) dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu. - Bernama

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger