Memaparkan catatan dengan label kembali. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kembali. Papar semua catatan

Jumaat, 22 April 2011

Pegawai SPRM ingat kembali pertemuan terakhir dengan Teoh

KUALA LUMPUR: Demonstrasi mengenai keadaan sebenar pertemuan terakhir antara seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Teoh Beng Hock dilakukan semasa prosiding suruhanjaya yang menyiasat kematian setiausaha politik kepada Exco Selangor itu, hari ini.

Demonstrasi itu, yang berlangsung selama 10 minit sebelum prosiding berakhir pada jam 1.10 tengah hari, membabitkan Penolong Penguasa SPRM Putrajaya, Bulkini Paharuddin, dengan keadaan lampu di dalam mahkamah dimalapkan.

Bulkini dilihat memejamkan mata buat seketika untuk mengembalikan ingatannya mengenai kemungkinan seorang lelaki Cina berseluar putih yang beliau temui selepas mengiringi seorang saksi SPRM, iaitu anggota Majlis Perbandaran Kajang Tan Boon Wah, ke tandas adalah Teoh. Sesi itu dikendalikan oleh Pakar Perunding Psikiatri Forensik Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom, yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya.

Beliau adalah juga seorang anggota suruhanjaya yang menyiasat kematian Teoh, yang mayatnya ditemui di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu, pada 16 Julai 2009.

Teoh, 30, adalah setiausaha politik Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah, yang juga Anggota Exco Kerajaan Negeri.

Selepas selesai sesi itu, Bulkini memberitahu suruhanjaya berkenaan bahawa lelaki yang ditemui berkemungkinan adalah Teoh berdasarkan seluar berwarna putih yang dipakainya sama dengan seluar yang dipakai oleh Teoh.
"Saya ternampak seorang lelaki Cina berseluar putih dan memakai baju berwarna hitam dengan kepala ditundukkan masuk ke dalam tandas dengan tangan kanan lelaki itu membuka pintu tandas berkenaan.

"Saya juga nampak seorang lelaki terbaring di atas lantai dalam keadaan ngeri dan lelaki itu turut memakai seluar berwarna putih dan berbaju hitam," kata Bulkini ketika diminta Mohamed Hatta untuk memberikan gambaran yang tercetus dalam mindanya.

Bulkini berkata, pada awalnya beliau tidak menjangka lelaki Cina yang ditemuinya pada jam 2.15 pagi 16 Julai 2009 itu adalah Teoh sehingga berita kematian Teoh disiarkan melalui televisyen.

"Selepas berita itu tersebar, saya mendapat gambaran kemungkinan lelaki yang saya temui adalah orang yang sama ditemui mati di bangunan SPRM berdasarkan kepada warna seluar simati yang berwarna putih.

"Jarang saya berjumpa lelaki memakai seluar warna putih dan selepas melihat gambaran simati (Teoh) dalam TV, saya teringat kepada lelaki Cina yang saya temui turut memakai seluar putih," katanya.

Bulkini turut disoal peguam Christopher Leong dari Majlis Peguam mengapa dalam keterangan pertamanya kepada polis beliau tidak menyatakan mengenai pertemuan itu namun memberikan keterangan itu selepas tiga minggu setelah kematian Teoh.

"Selepas saya yakin bahawa seluar putih yang dipakai si mati adalah sama dengan warna seluar yang dipakai oleh lelaki yang saya ditemui, barulah saya membuat keputusan untuk memaklumkan kepada polis mengenai perkara itu," kata Bulkini.

Bulkini, yang terbabit dalam temubual dengan Tan pada hari yang sama Teoh disiasat, menyifatkan Tan seorang yang panas baran.

Sifat Tan itu disedari apabila Tan memarahi isterinya di hadapan Bulkini dan beberapa lagi pegawai SPRM ketika mereka berjumpa dengan isteri Tan di tempat kerja isterinya, kata saksi itu.

Bulkini, yang fasih berbahasa Cina, berkata Tan memarahi isterinya dengan berkata: "Kau diam. Kau ikut sahaja cakap aku."

Bulkini turut memberitahu suruhanjaya bahawa Tan berkelakuan agak "luar biasa" dan ini terjadi ketika mereka berjumpa Tan di rumahnya di Bandar Mahkota, Cheras pada 15 Julai 2009.

"Ketika kami sampai di rumahnya, Tan bertindak menyelerakkan rumahnya dengan sengaja menjatuhkan barang seolah cuba mengenakan pegawai SPRM dan sepanjang mereka berada bersama, Tan asyik menggunakan telefon bimbitnya.

"Saya ada menegurnya supaya jangan menggunakan telefon bimbit, namun Tan menjawab ''kamu tiada hak untuk menghalang saya daripada menggunakan telefon'', kata Bulkini ketika disoal peguam Datuk Seri Muhammed Shafee Abdullah yang mewakili SPRM.

Bulkini turut menolak dakwaan Tan yang beliau menggunakan kekerasan semasa menemubual Tan.

"Saya tidak melemparkan "pouch bag" kepada Tan dan saya juga tidak menggertaknya jika beliau enggan memberikan kerjasama.

"Dakwaan Tan bahawa saya memintanya berdiri selama beberapa jam adalah tidak munasabah kerana beliau duduk di kerusi dan saya duduk di atas lantai ketika temubual dijalankan," katanya.

Pengerusi suruhanjaya siasatan itu, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen, memaklumkan prosiding hari ini bahawa tiada bukti yang menunjukkan setiausaha politik itu telah mendaftar untuk berkahwin dengan Soh Cher Wei.

Katanya, siasatan itu dibuat oleh penyiasat persendirian Michael Leslie Squires selepas timbul isu bahawa Teoh akan berkahwin sehari selepas beliau ditemui mati.

Terdahulu, pegawai perisikan SPRM Hafiz Izhar Idris memberitahu suruhanjaya itu bahawa sepanjang perbualannya dengan Teoh di pejabat SPRM, Teoh hanya memaklumkan bahawa beliau belum berkahwin.

Saksi itu berkata, isu Teoh akan mendaftarkan perkahwinan mereka pada 17 Julai 2009 tidak timbul kerana sepanjang perbualan itu, beliau hanya diberitahu tentang pekerjaan dan tempat tinggalnya.

Pada 17 Julai 2009 iaitu sehari selepas mayat Teoh ditemui, Soh memberitahu wartawan bahawa beliau sedang mengandung dua bulan dan pada hari terbabit sepatutnya mendaftarkan perkahwinan mereka di Alor Gajah, Melaka.

Anak Teoh kini berusia dua tahun.

Selain Foong dan Mohamed Hatta, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T S Nathan dan Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 26 Januari lalu, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner, yang sebelum itu menyiasat kes berkenaan, membuat keputusan "terbuka".

Prosiding disambung Isnin ini. - BERNAMA



kredit

Ahad, 3 April 2011

Misbun kembali

Soal sama ada terus latih Chong Wei belum diputuskan Exco BAM

KEMELUT tiga bulan yang 'dicipta' Datuk Misbun Sidek berakhir semalam apabila jurulatih 'Yang Teristimewa' itu menarik balik peletakan jawatannya dan diterima sebulat suara Majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Begitupun, timbul persoalan baru sama ada jurulatih itu akan terus membimbing anak didiknya, Lee Chong Wei atau sebaliknya kerana jurulatih itu perlu memenuhi syarat-syarat kontrak baru yang akan ditetapkan BAM. “Kita akan tawarkan kontrak baru kepadanya kerana kontrak lama berakhir 31 Disember lalu. Jadi, beberapa syarat baru akan ditetapkan dan selepas mendapat persetujuan bersama, baru kita akan menandatanganinya.

“Soal sama ada dia akan terus membimbing Chong Wei dan berapa lama tempoh kontrak baru ini, belum diputuskan kerana ia masih terbuka dan kami perlu berbincang terlebih dulu,” kata Presiden BAM, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh.


Beliau juga menegaskan keputusan BAM menerima semula penarikan jurulatih itu bukan kerana tekanan mana-mana pihak, sebaliknya demi kepen-tingan negara.


“Saya pun tidak tahu bila dia membuat keputusan (menarik balik surat peletakan jawatan) itu kerana baru menerima dan membacanya tengahari ini (semalam) selepas pulang dari luar negara. Surat itu dihantar ke rumah saya tiga atau empat hari lalu dan saya kemudian memberi-tahu majlis dan selepas perbincangan, mereka menerima penarikan balik peletakan jawatan itu dengan sebulat suara,” katanya.


Mohd Nadzmi berkata, BAM mengalu-alukan keputusan jurulatih itu dan menegaskan pihaknya tidak pernah memaksa jurulatih itu meletak jawatan. “Begitupun, keputusan Misbun itu tidak akan me-ngubah struktur baru sistem kejurulatihan dan latihan yang sudah diluluskan sebelum ini dan Misbun sendiri menghormatinya,” katanya.


Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek lega dengan perkembangan itu dan menyifatkan segala keputusan dicapai dibuat demi kepentingan negara. "Misbun dan BAM selepas ini ada tugas penting terutama buru pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik."


kredit

Khamis, 31 Mac 2011

Impi kembali ke Olimpik

KALI terakhir Malaysia beraksi di Sukan Olimpik ialah 39 tahun lalu dan hari ini 'impian lama' itu akan kembali menggamit minda skuad bola sepak negara apabila undian bagi pusingan kedua dilakukan, hari ini.

Selain itu, undian bagi kelayakan Piala Dunia 2014 di Brazil juga akan diadakan jam 3 petang ini di ibu pejabat Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) di Bukit Jalil dan jurulatih skuad Harimau Malaya, K Rajagobal juga akan dapat mengetahui siapa bakal pencabar mereka apabila undian bagi pusingan pertama dan kedua akan ditentukan.

Malaysia tidak pernah layak ke pusingan akhir sejak bertan-ding dalam peringkat kelayakan pada 1974. Apapun, Rajagobal bersikap lebih realistik apabila bersuara mahu berpijak di bumi nyata dengan hanya meletakkan sasaran layak ke Piala Asia 2015.

Sementara itu, bagi Ong Kim Swee, cabaran lebih besar menanti skuad Olimpik apabila bakal diundi bertemu salah satu daripada 12 pasukan terbaik Asia - Korea Selatan, Australia, China, Jepun, Iraq, Bahrain, Qatar, Arab Saudi, Korea Selatan, Syria, Lubnan atau Uzbekistan.


kredit

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger