Memaparkan catatan dengan label Pahang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pahang. Papar semua catatan

Khamis, 31 Mac 2011

MB Pahang jamin kilang proses kimia milik Lynas selamat

BENTONG 31 Mac - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob memberi jaminan bahawa pembinaan kilang pemprosesan bahan kimia milik Syarikat Lynas Corporation Ltd. dari Australia di kawasan perindustrian Gebeng di Kuantan, adalah selamat dan tidak akan memberi kesan buruk kepada penduduk sekitar.


Katanya, kerajaan negeri telah mendapatkan penjelasan dan pandangan daripada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) mengenai tahap keselamatan penduduk terhadap kesan radioaktif atau radiasi dari kilang tersebut sebelum bertindak meluluskan tapak pembinaan kilang itu.


"Pembinaan kilang itu sengaja dijadikan isu politik oleh pihak tertentu yang didalangi pihak parti pembangkang," katanya kepada pemberita di sini.


Terdahulu, beliau dan semua pengerusi jawatankuasa kerajaan negeri diberikan taklimat kali kedua daripada LPTA dan pakar tenaga atom yang diketuai Ketua Pengarah LPTA, Raja Datuk Abdul Aziz Raja Adnan.


Menurut Adnan, sebelum meluluskan permohonan daripada syarikat berkenaan pada tahun lepas, ia telah melalui beberapa proses yang ketat dan membabitkan beberapa badan teknikal daripada LPTA dan pihak-pihak yang berkaitan dengan nuklear.


"Kita berharap penduduk terutamanya di Kuantan tidak merasa panik atau gusar apabila kilang itu yang dijangka beroperasi pada September ini kerana ia tidak akan membebaskan radiasi dan membuang sisa-sisa air yang digunakan untuk memproses bahan tersebut tetapi air itu akan dikitar semula," katanya.


Semalam, kira-kira 100 orang berkumpul di hadapan pintu masuk bangunan Parlimen kerana membantah pembinaan kilang pemprosesan bahan kimia itu.


Mereka yang mendakwa terdirinya daripada beberapa penduduk sekitar Kuantan dan aktivis termasuk dari badan-badan bukan kerajaan bimbang kemungkinan penyebaran sisa radioaktif yang bakal dihasilkan selepas projek bernilai RM700 juta itu beroperasi kelak. - Bernama


kredit

Jumaat, 25 Mac 2011

M Nasir, Ramli MS antara 148 penerima darjah kebesaran Pahang

PEKAN: Seramai 148 orang termasuk dua artis terkenal hari ini menerima anugerah darjah kebesaran sempena ulang tahun keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.


Dalam satu istiadat yang berlangsung di Istana Abu Bakar di sini, baginda menyampaikan anugerah terbabit didahului dua kerabat diraja Pahang iaitu Tengku Nor Aizah Sultan Abu Bakar dan Tengku Zabedah Sultan Abu Bakar yang menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Baginda kemudian menganugerahkan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP)yang membawa gelaran "Datuk Seri" kepada lapan penerima didahului Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf. Penerima lain termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr Ismail Ahmad; Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings Berhad, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir; Ketua Eksekutif Kumpulan APEX Development& Construction Berhad Datuk Seri Dr Erwan Mohd Tahir dan Pengarah Urusan System Engineering & Construction Sdn Bhd, Datuk Seri Ahmad Kamel Ibrahim.

Sultan Ahmad Shah mengurniakan Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran "Datuk" kepada lima penerima.


Mereka ialah Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk Mariana Yahya; Timbalan Panglima Tentera Udara Leftenan Jeneral Datuk Roslan Saad; Panglima Operasi Udara Leftenan Jeneral Datuk Ackbal Abdul Samad; Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Ibrahim Ismail dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam Datuk Md Yusop Mansor.


Seramai 11 penerima dianugerahkan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang(DSAP) yang juga membawa gelaran "Datuk". Mereka termasuk Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abd Bakir Zin; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Mohd Shariff Hussin; Pegawai Undang-undang Khas Jabatan Perdana Menteri, Datuk Azhar Abdul Hamid dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad.


Seramai 124 penerima pula dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang turut membawa gelaran "Datuk" termasuk dua artis popular tanah air iaitu konduktor muzik, Ramli Mohamed Salleh atau lebih dikenali Ramli MS dan penyanyi dan pencipta lagu Mohd Nasir Mohamed atau M. Nasir.


Penerima lain termasuk anggota exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)Datuk S. Sivasundaram; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan; Pegawai Daerah Rompin Datuk Syed Ahmad Fuad Syed Taha;Panglima 4 Briged, Brigadier Jeneral Zamrose Mohd Zain; Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Md Jamil dan Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Mohd Aripin Daud. - BERNAMA


 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger