Memaparkan catatan dengan label Belum. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Belum. Papar semua catatan

Selasa, 29 Mac 2011

PKR, SNAP belum setuju pembahagian kerusi Sarawak

KUALA LUMPUR: Perbalahan antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) berhubung pembahagian kerusi bagi pilihan raya negeri Sarawak pada 16 April ini berterusan apabila kedua-dua parti dilihat membuat tuntutan bertindih untuk 23 kerusi. Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, berkata sebanyak empat kerusi telah diperuntukkan kepada SNAP manakala PKR berhasrat bertanding di 24 kerusi lagi.

"Setakat ini sebanyak 24 kerusi sah akan ditandingi PKR, sementara SNAP di empat kerusi dan senarai penuh hanya akan dimuktamadkan dalam jangka masa terdekat kerana perbincangan antara dua parti masih berjalan. "Kedua-dua parti menunjukkan minat terhadap 23 kerusi, jadi kita perlu lebih memperincikan kepada calon boleh menang, penerimaan pengundi dan isu tempatan," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat majlis pimpinan pembangkang di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Mesyuarat turut dihadiri penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Pertikaian antara kedua-dua parti itu tercetus apabila PKR yang hanya mempunyai satu kerusi di Sarawak dalam penggal Dewan yang lalu, telah menuntut untuk bertanding di lebih 40 kerusi yang majoritinya juga mahu ditandingi SNAP.


Sarawak mempunyai 71 kerusi Dewan Undangan Negeri. Terdahulu, Anwar yang juga ketua pembangkang, mengesahkan DAP akan bertanding di 15 kerusi dan PAS lima kerusi. Katanya, perbincangan bagi baki (51) kerusi masih berjalan antara PKR dan SNAP di Kuching dan kelewatan itu bukanlah satu masalah kerana hari penamaan calon masih jauh dan Barisan Nasional juga belum memutuskan calon mereka.


"Kita akan umumkan keputusan penuh mengenai pembahagian kerusi di Kuching nanti, sabar," katanya. Penamaan calon ialah pada 6 April ini. - BERNAMA


kredit

Khamis, 24 Mac 2011

Malaysia belum sedia bida Sukan Asia 2023

KUALA LUMPUR - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak sedia membida penganjuran Sukan Asia 2023 kerana kos penganjuran temasya itu adalah tinggi dan dijangka meningkat. Menteri, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, faktor lain yang mengekang pembidaan penganjuran Sukan Asia 2023 itu ialah keadaan ekonomi semasa.


"Kita tidak bersedia untuk membuat bidaan buat masa sekarang kerana menganggap ia melibatkan kos yang berlipat kali ganda besar. Dan saya rasa pada masa akan datang kos akan meningkat tiga atau empat kali ganda dan kita tidak mahu kos itu ditampung oleh wang subsidi untuk rakyat," katanya ketika ditanya mengenai hasrat Indonesia membida penganjuran Sukan Asia 2019 setelah Malaysia tidak mahu berbuat demikian kerana kos penganjuran temasya sukan itu melebihi RM1.6 bilion pada akhir September tahun lepas. - Bernama

Rabu, 23 Mac 2011

RM377.8 juta carumah KWSP belum dituntut

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM377.8 juta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak dituntut sehingga Disember tahun lalu membabitkan 188,733 ahli berumur 75 tahun ke atas, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata berdasarkan rekod KWSP, hampir keseluruhan maklumat mengenai pencarum terbabit adalah tidak lengkap memandangkan rekod pencarum yang terdahulu tidak mempunyai maklumat negeri.

Katanya, daripada jumlah pencarum itu hanya 1,960 boleh dikenal pasti mengikut negeri. Negeri-negeri itu ialah Johor 124 kes, Kedah (101), Kelantan (26), Melaka (33), Negeri Sembilan (43), Pahang (76), Perak (141), Pulau Pinang (148), Sabah (236), Sarawak (371), Selangor (340), Terengganu (41) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (280).

"Jumlah keseluruhan caruman bagi negeri-negeri yang dikenal pasti itu berjumlah RM195.9 Juta, manakala selebihnya yang berjumlah RM358.2 juta adalah jumlah caruman daripada 186,773 kes yang tiada maklumat negeri," katanya menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan).

Awang Adek berkata, caruman yang tidak dituntut itu akan disimpan dalam akaun KWSP sehingga ahli berumur 80 tahun iaitu lima tahun selepas ahli tidak mencarum dengan KWSP.

Katanya, selepas pencarum mencapai umur 80 tahun, caruman terbabit akan dipindahkan kepada bahagian pendaftar wang tidak dituntut iaitu selaras dengan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991.
"Bagaimanapun, sekiranya pencarum atau waris ingin membuat tuntutan caruman selepas caruman itu dipindahkan, KWSP akan membantu dengan mengeluarkan dokumen dan maklumat sebagaimana prosedur tuntutan ditetapkan," katanya.

Mengikut undang-undang, wang yang tidak dituntut oleh pemunya akan dipindahkan daripada Akaun Amanah Disatukan kepada Akaun Hasil Disatukan selepas 15 tahun dari tarikh penerimaan oleh Pendaftar Wang Tak Dituntut. - BERNAMA


Selasa, 22 Mac 2011

Belum terlewat kaji hubungan dengan PKR - Zaid

KOTA BHARU 22 Mac - Seorang bekas pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpendapat masih belum terlewat bagi parti pembangkang terutama Pas untuk mengkaji semula hubungan pakatan dengan PKR yang kini berdepan dengan isu video lucah membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Datuk Zaid Ibrahim berkata, sewajarnya hubungan itu perlu dikaji semula kerana sudah terlalu banyak isu integriti membabitkan Ketua Umum PKR itu dipertikaikan termasuk isu video lucah itu.

"Sepatutnya Pas kaji lama dah (hubungan dengan PKR). Ini membabitkan soal integriti dan kewibawaan pemimpin yang bukan sahaja kepada parti pembangkang tetapi juga kepada pemimpin Barisan Nasional (BN).

"Banyak masa negara kini bertumpu kepada soal integriti Anwar. Patut fikir hal rakyat dan satu penyelesaian perlu dikaji dan diambil,? katanya kepada pemberita selepas memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sini, hari ini.

Zaid yang juga Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) itu memberikan keterangan kepada polis bersabit laporan terhadap Pengerusi DAP, Karpal Singh. - Bernama

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger