KUALA BERANG: Penduduk Kampung Belukar Bukit di sini merayu pihak berkuasa membina sebuah jambatan baru merintangi Sungai Kilang bagi menggantikan titi batang kelapa yang digunakan untuk menghubungkan kampung dengan kawasan kebun sawit dan getah tempat mereka mencari rezeki.
Kawasan di seberang sungai itu juga terletak tanah perkuburan, menyebabkan setiap kali berlaku kematian, penduduk kampung terpaksa memperjudikan nasib melalui titi usang itu.
Penduduk, Mat Sharif Ali, 62, berkata ketiadaan kemudahan jambatan yang sempurna di kampung itu menyebabkan hasil tanaman rosak kerana tidak dapat diangkut ke jalan utama untuk dipasarkan, menyebabkan mereka menanggung kerugian besar.
“Sebenarnya, jambatan usang berusia lebih 20 tahun dan sepanjang 20 meter itu, sudah dibaik pulih penduduk kampung menggunakan batang pokok kelapa pada 2009 selepas rosak teruk akibat musim tengkujuh.
“Bagaimanapun, batang kelapa tidak tahan lama dan selepas dua tahun, kini sudah reput dan tidak dapat menampung kenderaan masuk ke kawasan kebun dan tanah perkuburan.
"Sampai bila kami harus menebang pokok kelapa untuk membaik pulih jambatan? Zaman sekarang serba moden dengan penggunaan alatan canggih, tetapi kami masih bergantung harap kepada batang kelapa yang tidak tahan lasak untuk dijadikan jambatan bagi laluan kenderaan," katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd Zainudin Othman, 26, berkata akibat kerosakan jambatan itu, jenazah bapanya yang meninggal dunia pada Julai lalu, terpaksa diusung melalui titi itu. Katanya, keadaan jambatan yang uzur bukan saja mendatangkan kerugian kepada pekebun sawit dan getah, malah membahayakan nyawa penduduk yang ingin menguruskan jenazah jika berlaku kematian.
Bagi Shafie Mat Yasin, 70, dia tidak dapat mengeluarkan hasil kebun getah dan sawitnya seluas 3.5 hektar sejak tiga bulan lalu berikutan jambatan yang menjadi penghubung utama penduduk tidak boleh dilalui kenderaan.
"Sedih melihat hasil sawit rosak akibat tidak dapat diangkut untuk dihantar ke kilang dan akibatnya, saya kerugian hingga RM3,000 sebulan," katanya.
Turut kerugian, Mohd Nasir Mat Ghani, 34, apabila sawit dan getah yang diusahakannya tidak dapat diangkut keluar dan dia kerugian RM3,000 sebulan.
"Akibat kegagalan membawa hasil tanaman untuk dipasarkan, saya terpaksa menjadi buruh kontrak bagi menyara isteri dan dua anak berusia lapan dan 12 tahun, sedangkan hasil sawit serta getah sudah memadai buat kami sekeluarga untuk menampung perbelanjaan harian," katanya.
Pemandu lori sawit, Mohd Nazri Mat Sharif, 30, berkata dia sedih kerana tidak dapat membantu penduduk yang mengusahakan sawit dan getah untuk mengeluarkan hasil pertanian mereka kerana jambatan itu rosak.
Katanya, ‘jambatan pokok kelapa’ itu bulan lalu hampir meragut nyawanya apabila lori yang sarat muatan sawit yang dipandunya terperosok di tengah jambatan ketika melintasinya.
"Saya bernasib baik kerana lori tidak terhumban dalam sungai yang dalamnya hampir tujuh meter,” katanya.
[berita harian]