Memaparkan catatan dengan label malaysian insider. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label malaysian insider. Papar semua catatan

Sabtu, 21 Mei 2011

Presiden Kimma, tiga wakil BN angkat sumpah Senator minggu depan

KUALA LUMPUR, 20 Mei — Presiden Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Datuk Syed Ibrahim Kader akan mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Negara minggu depan.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, beliau mengesahkan telah menerima surat rasmi pelantikan semalam dan akan mengangkat sumpah minggu depan, kemungkinan pada Rabu.

“Ya...ya... saya telah menerima surat rasmi pelantikan hari ini (semalam), sekarang saya hanya menunggu tarikh untuk mengangkat sumpah, mungkin hari Rabu.

“Saya menerima lantikan ini dengan hati terbuka dan saya berharap ia akan memberi peluang kepada kami untuk meneruskan perjuangan,” katanya.

Syed Ibrahim, 57, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai lantikan itu dan akan memberikan kenyataan penuh setelah mengangkat sumpah.

Ini merupakan kali pertama wakil Kimma dilantik sebagai ahli Dewan Negara. Kimma ditubuhkan pada 1976.

Penghujung tahun lalu, Syed Ibrahim memohon kerajaan melantik seorang senator daripada kalangan anggota parti itu untuk mewakili kaum India Muslim negara ini.

Beliau berkata, ini kerana parti itu tidak mempunyai saluran untuk bersuara secara langsung terutama bagi menyuarakan masalah kaum India Muslim terus kepada kerajaan.

Menurut sumber The Malaysian Insider, selain Syed Ibrahim, dua wakil Umno dan seorang dari Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) turut dilantik sebagai ahli Dewan Negara.

“Saya difahamkan selain Syed Ibrahim, dua wakil Umno dan seorang dari SUPP turut akan dilantik sebagai Senator.

“Tapi saya tidak tahu siapa mereka, apa yang saya tahu mereka masih menunggu surat rasmi lantikan daripada Kabinet,” katanya.

Ogos lepas, Umno bersetuju menerima Kimma sebagai anggota bergabung parti itu dengan beberapa keistimewaan seperti dijemput hadir sebagai pemerhati dalam perhimpunan agung dan persidangan di peringkat bahagian sekiranya parti itu mempunyai keanggotaan di kawasan berkenaan.

sumber: malaysian insider

Laporan media: Saksi dakwa ‘tiba-tiba dikejar tanah’

KUALA LUMPUR, 21 Mei – “Saya dengar bunyi dentuman kuat, tiba-tiba tanah kejar saya,” kata ketua warden Rumah Anak Yatim Al-Takwa, Felcra Semungkis dekat Kajang, Mohamad Hambali Ismail, 34.

Ditemui Berita Harian Online, katanya, ketika kejadian 2.15 petang itu, seramai 23 penghuni sedang membuat persiapan untuk menyambut ketibaan rombongan FINAS yang dijadualkan makan tengah dan beramah mesra dengan anak yatim.

“Ketika sedang sibuk membuat persiapan, saya terdengar dentuman kuat. Saya tidak dapat berbuat apa-apa dan terpaksa lari menyelamatkan diri,” katanya.

Dia berkata, sementara menunggu rombongan FINAS, anak yatim terbabit sebahagiannya berlatih kompang dan nasyid.

Ketika kejadian, 23 orang berada di bawah khemah untuk majlis makan tengah hari itu.

Rumah anak yatim berkenaan mempunyai 34 penghuni, semuanya lelaki.

Setakat ini, dua penghuni maut dan enam pula cedera parah.

Laman web itu turut memetik seorang penghuni rumah anak yatim berkenaan, Mohd Faizal Isni, 17, berkata, ketika kejadian dia ke tandas dan tiba-tiba kejadian berkenaan berlaku.

“Saya nampak kawan-kawan yang berada bawah khemah sudah tertimbus, cuma nampak tangan dan kepala mereka. Semuanya terkambus.

“Masa yang sama, ketika saya menoleh ke belakang ternampak tanah runtuh seperti mengejar saya,” katanya.

sumber: malaysian insider
 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger