Khamis, 22 September 2011

Walkman kalis air

berita berita terkini
SUKAR membayangkan melakukan aktiviti fizikal sambil mendengar pemain muzik kerana tidak banyak peranti tersebut yang didatangkan bersama ciri istimewa kalis air ataupun tahan lasak.

Walaupun pemain muzik mempunyai ciri-ciri tersebut, pengguna masih perlu memikirkan mengenai wayar yang menyambung fon telinga untuk mendengar muzik.

Ia sekali gus merimaskan pengguna apatah apabila ingin melakukan senaman ataupun aktiviti lasak.

Menyedari kepentingan ini, syarikat pengeluar produk teknologi, Sony Malaysia telah memperkenalkan koleksi Walkman terbarunya iaitu siri W260 dalam memenuhi kehendak pengguna hari ini.

Timbalan Pengurus Besar, Bahagian Pengurusan Jenama Sony Malaysia, Masaki Matsumae berkata, siri terbaharu ini mempunyai reka bentuk ergonomik yang menarik dan hanya mempunyai berat 32 gram (g).

"Dengan saiz kompak, tanpa wayar dan pelbagai warna menarik ia tentu dapat memenuhi permintaan pengguna yang menjalani kehidupan aktif.

"Dalam pada itu, Sony Walkman siri W260 mempunyai audio berkualiti tinggi dan fungsi mudah dikendalikan pengguna," katanya pada majlis pelancaran Sony Walkman siri W260 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam majlis berkenaan, Sony turut melantik kumpulan ThomasJack selaku duta terbaharu produk berkenaan.

Selain kalis air, pemain digital terbaharu ini juga boleh dicuci terutama apabila melakukan aktiviti lasak seperti senaman dan berjoging.

Ia turut didatangkan bersama perisian Perpindahan Kandungan bagi memudahkan lagi pengguna memindahkan lagu kegemaran mereka.

Model Sony Walkman siri W260 yang kini sudah berada di pasaran dijual pada harga RM299. Terdapat empat warna menarik ditawarkan kepada pengguna iaitu hitam, merah jambu, biru dan putih.

[kosmo online]
 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger