KUALA LUMPUR, 4 Ogos — Keputusan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) Datuk Dr Rosti Saruwono meletakkan jawatan berpunca dari siasatan dalaman yang dibuat kerajaan negeri Selangor ekoran laporan ketidakcekapan dan tidak profesional sesetengah pegawainya.
Namun begitu, Naib Canselor Unisel itu ‘tidak mampu bekerjasama’ dengan semua timbalan presiden Unisel bagi melaksanakan segala resolusi yang dicapai dari siasatan dalaman itu.
Ekoran itu, Exco Pendidikan Selangor Dr Halimah Ali berkata, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Pengerusi Unisel telah memberikan tempoh dua minggu kepada Rosti untuk bekerjasama demi kebaikan Unisel.
“Kesemua timbalan presiden bersetuju dengan cadangan Menteri Besar. Akhirnya, naib canselor tidak sanggup,” kata Dr Halimah dipetik Harakahdaily hari ini.
Rosti mengumumkan keputusan letak jawatan berkuat kuasa semalam.
Menteri Besar Selangor menerima keputusan Rosti dan menubuhkan pasukan khas bagi meneliti permasalahan dalam pengurusan Unisel.
Semalam, Khalid berkata pasukan khas itu akan dikemudi oleh tiga individu berkelayakan bagi memastikan Unisel terus berkembang maju.
“Bagi memastikan peletakan jawatan ini tidak mengganggu pembangunan Unisel dan usaha menjadikan universiti tersebut sebagai salah satu universiti terbaik Malaysia, kerajaan negeri telah memberi tugasan kepada sebuah jawatankuasa,” katanya.