Jumaat, 1 April 2011

Pencuri terjun lombong mati lemas

IPOH 1 April - Seorang lelaki mati lemas, selepas terjun dalam sebuah lombong, semasa cuba menyelamatkan diri daripada dikejar sekumpulan penduduk di sebuah taman perumahan di Bandar Seri Botani, di sini, kerana dipercayai mencuri.


Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias berkata, mayat Mohd Shahril Sufian, 30, dijumpai terapung di lombong berkenaan pada pukul 7.50 pagi tadi oleh pasukan Bomba dan Penyelamat.


Lelaki itu yang juga seorang penganggur dikatakan telah memecah masuk dan mencuri di sebuah rumah di taman berkenaan pada pukul 7 malam semalam.


Selepas menyedari perbuatannya diketahui beberapa jiran, dia telah melarikan diri dan bertindak terjun ke dalam sebuah lombong yang terletak berhampiran taman berkenaan, katanya ketika dihubungi hari ini.


Seorang daripada penduduk berkenaan telah menelefon polis berhubung kejadian itu sebelum operasi mencari dijalankan dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat sehingga pukul 10 malam tadi tetapi gagal menemuinya.


Mayat lelaki itu ditemui terapung di lombong itu semasa operasi disambung pagi ini. Ia dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, katanya. - Bernama


kredit

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger