Khamis, 28 April 2011

Najib tidak sabar-sabar bertemu Wen Jiabao esok

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau tidak sabar-sabar untuk bertemu dengan Perdana Menteri China, Wen Jiabao esok.


"Saya tidak sabar-sabar untuk bertemu Perdana Menteri China Wen Jiabao esok. Kami berharap untuk kedua-dua negara menjalin hubungan lebih erat," katanya dalam twitter beliau hari ini. Wen, dalam rangka lawatan rasmi dua hari bermula hari ini, akan bertemu Najib esok di Putrajaya dengan kedua-dua pemimpin dijadual akan mengadakan perbincangan rasmi.


Najib juga akan menganjurkan majlis makan tengah hari untuk Wen di Seri Perdana esok. Ini adalah lawatan rasmi kedua Wen ke Malaysia. Lawatan pertama ialah pada Disember 2005 semasa beliau menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur pertama, Sidang Kemuncak Asean-China kesembilan dan Sidang Kemuncak Asean Campur Tiga yang berlangsung di Kuala Lumpur.


Lawatan kedua itu sebagai membalas lawatan Najib pada 2009 apabila Pelan Tindakan Bersama bagi Kerjasama Strategik Malaysia-China diwujudkan.


Dalam perkembangan lain, Najib turut berkata, beliau juga tidak sabar-sabar untuk berjumpa dengan rakan online beliau di Terengganu apabila beliau melawat negeri pantai timur itu Sabtu ini. - BERNAMA



kredit

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger