Ahad, 3 April 2011

Misbun kembali

Soal sama ada terus latih Chong Wei belum diputuskan Exco BAM

KEMELUT tiga bulan yang 'dicipta' Datuk Misbun Sidek berakhir semalam apabila jurulatih 'Yang Teristimewa' itu menarik balik peletakan jawatannya dan diterima sebulat suara Majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Begitupun, timbul persoalan baru sama ada jurulatih itu akan terus membimbing anak didiknya, Lee Chong Wei atau sebaliknya kerana jurulatih itu perlu memenuhi syarat-syarat kontrak baru yang akan ditetapkan BAM. “Kita akan tawarkan kontrak baru kepadanya kerana kontrak lama berakhir 31 Disember lalu. Jadi, beberapa syarat baru akan ditetapkan dan selepas mendapat persetujuan bersama, baru kita akan menandatanganinya.

“Soal sama ada dia akan terus membimbing Chong Wei dan berapa lama tempoh kontrak baru ini, belum diputuskan kerana ia masih terbuka dan kami perlu berbincang terlebih dulu,” kata Presiden BAM, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh.


Beliau juga menegaskan keputusan BAM menerima semula penarikan jurulatih itu bukan kerana tekanan mana-mana pihak, sebaliknya demi kepen-tingan negara.


“Saya pun tidak tahu bila dia membuat keputusan (menarik balik surat peletakan jawatan) itu kerana baru menerima dan membacanya tengahari ini (semalam) selepas pulang dari luar negara. Surat itu dihantar ke rumah saya tiga atau empat hari lalu dan saya kemudian memberi-tahu majlis dan selepas perbincangan, mereka menerima penarikan balik peletakan jawatan itu dengan sebulat suara,” katanya.


Mohd Nadzmi berkata, BAM mengalu-alukan keputusan jurulatih itu dan menegaskan pihaknya tidak pernah memaksa jurulatih itu meletak jawatan. “Begitupun, keputusan Misbun itu tidak akan me-ngubah struktur baru sistem kejurulatihan dan latihan yang sudah diluluskan sebelum ini dan Misbun sendiri menghormatinya,” katanya.


Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek lega dengan perkembangan itu dan menyifatkan segala keputusan dicapai dibuat demi kepentingan negara. "Misbun dan BAM selepas ini ada tugas penting terutama buru pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik."


kredit

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger