Khamis, 28 April 2011

Beng Hee layak pusingan ketiga

BEKAS jaguh negara, Ong Beng Hee membuka langkah kanan dalam menggapai impian besar untuk mengejar pengiktirafan apabila mudah layak ke pusingan ketiga kategori lelaki, Kejohanan Skuasy Individu Asia Ke-16, semalam.

Pemain nombor dua negara berusia 31 tahun itu mudah menewaskan pemain Korea Selatan, Nyeon Ho Lee, 11-5, 11-4, 11-9, dalam tempoh 25 minit di Pusat Skuasy Antarabangsa Nicol David (NDISC) di Pulau Pinang.

Beng Hee, jelas ceria dengan kemenangan berkenaan dan menyuarakan keyakinan untuk terus mara mengutip gelaran dalam kerjaya selepas persembahannya merudum sejak kebelakangan ini apabila tersingkir awal pada tiga kejohanan sebelum ini. “Kejohanan ini adalah ujian baik bagi menilai tahap permainan sekarang dan saya fikir kesabaran secara konsisten amat diperlukan jika mahu mara ke setiap perlawanan bagi mendapatkan gelaran pada kejohanan ini.

“Bagaimanapun keadaan gelanggang di sini agak berbeza dari gelanggang latihan saya di KL (Kuala Lumpur) menyebabkan kaedah permainan berbeza perlu diambil supaya tidak cepat letih,” katanya.


Sementara itu, ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David yang mendapat `bye' pada pusingan pertama akan menentang Jerryca Teo dari Singapura pada pusingan ketiga, hari ini, selepas pemain Sri Lanka, Dulakshi Elikewela tewas kepada Jerryca pada pusingan kedua, semalam.



kredit

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger