Khamis, 31 Mac 2011

Sedut pasir punca tebing sungai runtuh

BALING - Beberapa penduduk Kampung Pantai Cicar, Kuala Ketil hari ini menyuarakan rasa bimbang dengan kegiatan dua syarikat kuari yang menyedut pasir dari Sungai Ketil, yang didakwa mereka mengakibatkan banyak kejadian tebing sungai runtuh. Rata-rata pemilik tanah serta penduduk di kampung itu meminta Kerajaan Negeri Kedah mengambil tindakan menghentikan operasi dua syarikat berkenaan yang dikatakan mengakibatkan hakisan tanah yang serius di kawasan tersebut.


Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) penduduk Kampung Pantai Cicar, Che Hat Ariffin, 54, berkata pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera bagi menangani masalah itu. Katanya pihak berkenaan perlu memandang berat aduan penduduk kampung yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah disebabkan operasi kedua-dua syarikat itu.


Seorang penduduk, Muhamad Daud Hussain, 48, berkata penduduk sekitar kawasan itu sudah banyak kali mengadu kepada pihak berkuasa, khususnya Pejabat Tanah Baling dan Pejabat Tanah Kuala Muda, Jabatan Parit dan Saliran (JPS) dan kerajaan negeri berhubung masalah itu, namun tiada tindakan diambil.


Katanya aktiviti pengambilan pasir dari Sungai Ketil menghakis hampir satu hektar tanah penduduk kampung itu namun tiada pampasan yang diberikan kepada mereka. Seorang lagi pemilik tanah, Mohd Fuat Jasin, 47, juga menyuarakan rasa kesal dengan operasi mengeluarkan pasir dari Sungai Ketil yang masih berterusan.


"Kepada siapa lagi kami hendak mengadu. Pihak berwajib seolah-olah tutup mata," katanya. - Bernama


kredit

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger