Rabu, 23 Mac 2011

PKR, Snap masih bertelagah tentang pembahagian kerusi

KUCHING 22 Mac - Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih bertelagah berhubung pembahagian kerusi apabila SNAP, sebuah parti berasaskan kaum Dayak, hari ini terus menamakan 11 lagi calon yang akan diketengahkannya dalam pilihan raya negeri akan datang.

Dengan pengumuman terbaru itu, Snap telah memuktamadkan sejumlah 27 calon, susulan pengumuman terdahulu pada 15 Mac membabitkan 16 calon, termasuk bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus, Tebedu, Ngemah, Tarat, Bukit Begunan dan Katibas.

Bagaimanapun, Presiden Snap, Edwin Dundang berkata, Snap menyerahkan dua ?kerusi panas? - Ba'kalalan dan Batang Ai - kepada PKR memandangkan difahamkan Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian serta Nicholas Bawin akan diketengahkan bagi kedua-dua kerusi berkenaan.

"Snap berhasrat untuk bertanding dalam 40 kawasan pilihan raya. Bagaimanapun, kami lebih menyukai pertandingan satu lawan satu menentang parti yang memerintah.

"Ini kerana di kawasan majoriti kaum Dayak, khususnya, kami mempunyai peluang yang lebih baik untuk menang berbanding mana-mana parti pembangkang yang lain,? katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat parti di sini hari ini. - Bernama

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger