Khamis, 24 Mac 2011

Pembangkang tidak sepakat lantik Pemangku Ketua Pembangkang

KUALA SELANGOR: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata parti pembangkang kian rapuh setelah tiada kesepakatan untuk melantik Pemangku Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.


Beliau berkata, sejak Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang digantung daripada menghadiri Dewan Rakyat selama enam bulan pada Disember lalu berikutan isu berkaitan firma perunding antarabangsa APCO Worldwide Bhd, pihak pembangkang belum melantik sesiapa untuk memangku jawatan itu.

Noh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, masih tidak ada Pemangku Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat sedangkan pakatan itu mempunyai pemimpin pembangkang berpengalaman seperti Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang pernah menjadi Ketua Pembangkang. "Kenapa tak mahu bagi dia (Lim) memangku Ketua Pembangkang sebab PAS tak percaya? Kalau tak nak Lim Kit Siang, bagilah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Kenapa (dia) tak mahu jadi Ketua Pembangkang sebab DAP tidak setuju?," soalnya.

Ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan-Sukan Daerah Kuala Selangor di sini, beliau berkata, PAS dan DAP boleh bersekongkol kerana Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah jambatan kepada pakatan mereka. Namun, katanya, keadaan itu nampak berbeza selepas Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) digantung selama enam bulan berikutan isu APCO Worldwide.


"Jadi dengan tiadanya kepimpinan PKR, kita nampak parti pembangkang DAP dan PAS ini mereka tidak boleh kerjasama," katanya. - BERNAMA


 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger