Isnin, 28 Mac 2011

Pandu Puteri perlu proaktif kehendak semasa: Rosmah

KUANTAN: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, mahu Persatuan Pandu Puteri Malaysia lebih aktif dan proaktif dalam aktiviti kemasyarakatan terutama dalam usaha membantu masyarakat yang ditimpa musibah.


Beliau yang juga Yang Dipertua persatuan itu berkata, Pandu Puteri perlu bertindak pantas dan merancang segala aktiviti yang selaras dengan kehendak semasa supaya kehadiran mereka sentiasa dirasai.

"Saya kerapkali menyarankan Persatuan Pandu Puteri keluar dari kepompongnya sendiri ke arah sebuah anjakan paradigma. "Ini memerlukan semua ahli mengubah sikap dan mentaliti daripada bersikap reaktif kepada sikap proaktif, daripada mengikut sahaja kepada mencipta arus, daripada duduk-duduk sahaja kepada mencerminkan diri supaya kita memiliki satu standard kerja yang progresif, sistematik dan berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian mesyuarat agung Persatuan Pandu Puteri Pahang di sini, hari ini.


Rosmah berkata, usaha persatuan itu yang turut mendapat kerjasama Maybank bagi menubuhkan Tabung Bencana Pandu Puteri untuk membantu mangsa gempa bumi dan tsunami di Jepun baru-baru ini adalah satu usaha proaktif sejajar dengan kehendak semasa.


"Setakat ini persatuan telah mengumpulkan kutipan sejumlah RM300,000, usaha-usaha murni seperti ini perlu dijadikan sebagai pelengkap diri supaya kita sentiasa komited untuk meringankan beban dan memupuk semangat kemuafakatan demi menjaga kepentingan sejagat," katanya.


Pada majlis itu beliau turut merasmikan Program Brickathon, satu program untuk mengumpul dana bagi pembinaan sebuah bangunan pentadbiran Persatuan Pandu Puteri negeri Pahang.


"Memandangkan keahlian persatuan negeri Pahang telah mencecah sehingga 9,000 ahli maka maka dengan terbinanya bangunan sendiri ia akan melicinkan kerja-kerja pentadbiran dan pengurusan," katanya.


Turut hadir, Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Pahang, Tengku Puan Pahang Tengku Azizah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar. - BERNAMA


kredit

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger