Ahad, 20 Mac 2011

Kris Dayanti dan Raul Lemos bernikah

JAKARTA ? Diva Indonesia, Kris Dayanti dan kekasihnya, Raul Lemos menyempurnakan kisah percintaan mereka dengan ikatan pernikahan pada satu majlis yang sederhana di Masjid Sahid Nurul Iman, Hotel Grand Sahid Jaya, Jalan Sudirman, Jakarta Pusat, hari ini.

Mereka dinikahkan oleh bapa Kris, Trenggono dengan disaksikan oleh bekas Naib Presiden Indonesia, Tri Sutrisno yang mewakili Kris dan Arif Abdullah Saga, wakil Raul.

Selepas akad nikah, pasangan pengantin baru itu terus mempamerkan kemesraan melalui kucupan bibir di hadapan para tetamu.

Ini adalah pernikahan kedua bagi kedua-dua pasangan itu setelah rumah tangga mereka sebelum ini gagal.

Kris merupakan bekas isteri penyanyi dan komposer ternama, Anang Hermansyah, manakala Raul, seorang usahawan dari Timor Leste pula gagal dalam rumah tangganya sebelum ini dengan Silvalay Noor Athalia atau mesra dengan panggilan Atha.

Kisah percintaan Kris dan Raul diwarnai dengan pelbagai halangan kerana sebelum bercerai dengan Raul, Atha pernah melemparkan tuduhan bahawa Kris adalah perosak rumah tangganya, namun halangan itu berakhir setelah Raul sah bercerai dengan Atha pada 21 Disember tahun lalu. ? Bernama

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger