Khamis, 24 Mac 2011

Keputusan inkues Francis Udayappan kekal

PUTRAJAYA 23 Mac - Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan penghakiman terbuka Mahkamah Koroner dalam prosiding inkues bahawa kematian G. Francis Udayappan ketika dalam tahanan polis tidak melibatkan unsur jenayah.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hasan Lah yang bersidang bersama Hakim Datuk Abdul Malik Ishak dan Hakim Datuk Mokhtaruddin Baki sebulat suara menolak permohonan ibunya, Sara Lily George bagi mendapatkan kebenaran merayu.

Mahkamah berpuas hati bahawa perayu gagal menepati kehendak yang diperuntukkan di bawah Seksyen 50(2) Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman bagi membolehkannya mendapat kebenaran merayu.

Panel itu turut diberitahu bahawa Sara Lily gagal menyertakan alasan berhubung kelewatan memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran merayu selama dua tahun empat bulan.

Dengan keputusan itu, perayu gagal segala usaha di peringkat akhir rayuan setelah panel itu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk menyemak penemuan Mahkamah Koroner itu. - Utusan

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger