Khamis, 31 Mac 2011

Impian membara

Raja, Kim Swee puas hati undian Olimpik, Piala Dunia

OPTIMIS tetapi realistik. Itu pegangan ketua jurulatih kebangsaan, K Rajagobal dalam menghadapi Taiwan pada pusingan pertama kelayakan Piala Dunia zon Asia pada 29 Jun dan 3 Julai ini dan andai menang pasukan jiran, Singapura menjadi halangan berikut pada 23 dan 28 Julai.

“Saya gembira dan puas hati dengan keputusan undian hari ini (semalam),” kata Rajagobal selepas acara undian kelayakan Olimpik dan Piala Dunia di ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di ibu negara semalam. Sementara itu, Harimau Muda pimpinan Ong Kim Swee turut menghela nafas lega selepas diundi menentang Lubnan dalam pusingan kedua kelayakan Sukan Olimpik pada 19 Jun ini.

Pada tanggapan Rajagobal, mungkin ramai menganggap Taiwan pasukan mudah dan mampu diatasi pada pusingan pertama, tetapi dalam bola sepak, kekuatan di atas kertas tidak sama dengan apa yang akan berlaku di atas padang nanti.

“Walaupun tidak meletakkan sasaran kepada kelayakan Piala Dunia 2014, saya tetap akan melakukan usaha terbaik membawa pasukan negara sejauh mungkin sebagai pendedahan untuk matlamat sebenar - melayakkan diri ke Piala Asia 2015.”

Dalam acara undian semalam, skuad kebangsaan akan berdepan Taiwan pada pusingan pertama dan jika menang, akan bertemu Singapura pada pusingan kedua untuk menentukan tempat ke pusingan ketiga di mana 20 pasukan terbaik Asia akan dibahagikan kepada empat kumpulan.
Menyedari laluan negara boleh dianggap terselamat daripada kuasa besar Asia, Rajagobal tidak mahu peminat terlalu ghairah sehingga meletakkan sasaran tinggi kepada skuad muda kebangsaan yang baru mengecap kejayaan di peringkat Asia Tenggara.

“Matlamat utama saya ialah membentuk sebuah pasukan mantap menjelang Piala Asia 2015 di Australia, dan apa saja perlawanan atau kejohanan di antaranya adalah pendedahan terbaik buat pemain-pemain kita,” kata Rajagobal.

“Saya yakin dan optimis dengan peluang kita, tetapi pada masa sama kita perlu realistik dalam meletakkan sasaran. Saya tidak mahu memberi tekanan kepada pemain dan cara ini dilihat berkesan ketika negara menjuarai Piala AFF tahun lalu.

“Buat masa sekarang, saya akan memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Taiwan terlebih dulu, dan selepas perlawanan pertama nanti baru saya akan menilai semula mengenai peluang kita dalam pusingan kelayakan ini.”



kredit

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger