Ahad, 27 Mac 2011

Calon DUN Padungan sudah dikenalpasti - Taib



KUCHING 26 Mac - Barisan Nasional (BN) negeri dijangka meletakkan calon muda bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padungan pada Pilihan Raya DUN Sarawak Ke-10 16 April ini. Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, calon tersebut bukan sahaja berusia muda malah mempunyai kelayakan akademik yang begitu tinggi serta baik.


``Ya, kita sudah ada dan dia seorang yang muda dan mempunyai kelulusan akademik yang tinggi,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Beliau diminta mengulas sama ada BN sudah mengenalpasti calon yang sesuai untuk diketengahkan sebagai calonnya bagi kerusi DUN Padungan pada pilihan raya kali ini. Terdahulu Ketua Menteri merasmikan program Sejiwa Senada Bahagian Kuching di pekarangan Majlis Bandaraya Kuching Selatan di Padungan di sini hari ini.


Kerusi DUN Padungan kini disandang oleh Dominique Ng Kim Ho daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengalahkan penyandangnya, Naib Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Lily Yong Lee Lee dalam Pilihan Raya DUN Sarawak Ke-9 pada 2006.


Dalam perkembangan lain, Abdul Taib mengesahkan BN negeri akan melancarkan manifesto pilihan raya selepas proses penamaan calon 6 April ini. BN Sarawak dijangka melancarkan manifesto yang ringkas, padat dan mudah difahami rakyat pada pilihan raya negeri kelak. - UTUSAN

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger