Khamis, 24 Mac 2011

Al Azhar kecam tentera Sekutu

KAHERAH: Pihak berkuasa tertinggi Islam di Mesir semalam mengecam serangan tentera Barat di Libya tetapi berkata, ia menyokong apa yang disifatkannya sebagai tuntutan sah revolusi rakyat negara itu.

Pesawat pengebom Barat melakukan lebih 300 penerbangan di ruang angkasa Libya dan lebih 162 peluru berpandu tomahawk dibedil dalam misi yang dimandatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk melindungi penduduk awam negara itu daripada tentera kerajaan.


Universiti Al-Azhar, antara pusat pengajian tertua di dunia memberi amaran kepada Amerika Syarikat dan Britain supaya tidak memecah-belahkan Libya dan memusnahkan kekayaan sumber dan kemanusiaannya seperti yang berlaku di Iraq, lapor akhbar Al-Ahram.

Institusi yang berpusat di Kaherah itu juga mengutuk kerajaan Arab yang menindas rakyatnya sejak puluhan tahun lalu.


Menurutnya, pemimpin negara terbabit tidak sepatutnya kekal berkuasa jika ia membawa kepada lebih banyak pertumpahan darah.


“Mereka perlu meninggalkan jawatan mereka. Itu yang patut mereka lakukan sebagai menyahut gesaan rakyat yang sudah sekian lama bersabar,” menurut kenyataan universiti itu.

Sokongan dunia Arab untuk melaksanakan zon larangan terbang amat penting bagi membolehkan ketetapan Pertubuhan Bangsa Bersatu, membenarkan campur tangan tentera asing di Libya.


Bagaimanapun, tidak ada negara Arab, kecuali Qatar berkata ia akan menyumbang kepada operasi berkenaan.

Universiti Al-Azhar mengecam kegagalan institusi Arab dan Islam menangani masalah politik dan ekonomi yang akhirnya mencetuskan kebangkitan rakyat hingga menggoncangkan dunia Arab. - AP

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger