Sambil berarak, pejuang pemberontak turut bertakbir dan menunjuk tanda ‘V’ sebagai isyarat kemenangan. Bandar penting itu sebelum ini menjadi antara kubu utama tentera Gaddafi. Ajdabiya juga menjadi lokasi penting tentera terbabit menyusun gerakan dalam usaha mereka menawan kubu terpenting pemberontak di Benghazi.
Kejayaan menguasai Ajdabiya itu adalah kesan penting pertama dilihat selepas tentera Bersekutu melancarkan serangan udara ke lokasi tentera dalam usaha mereka menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya. Sekurang-kurangnya dua mayat pejuang pro-Gaddafi dilihat terlantar di jalan sambil dikerumuni orang ramai yang mengambil gambar.
Menurut media, kedatangan pemberontak itu turut dialu-alukan penduduk selepas mereka mendakwa menjadi mangsa penindasan tentera Gaddafi. Ajdabiya adalah bandar pertama jatuh semula ke tangan pemberontak sejak tentera Bersekutu melancarkan serangan awal pagi Ahad lalu.
Sementara itu, satu letupan kuat menggegarkan pangkalan tentera di pinggir Tripoli awal pagi semalam. Letupan itu menyebabkan kemudahan radar tentera di Tajura terbakar. - AFP