Isnin, 14 Februari 2011

Norizan tidak mahu dabik dada

JURULATIH Perak, Norizan Bakar tetap merendah diri meskipun skuad bimbingannya menang 2-0 ke atas Negeri Sembilan pada aksi Liga Super kelmarin.

“Masih terlalu awal untuk menganggap Perak sebagai sebuah pasukan kuat dan sempurna,” kata Norizan di Ipoh semalam.

Katanya, setiap pasukan dalam saingan liga baru beraksi tiga perlawanan dan perjalanan ke penghujung liga masih jauh.

Walaupun berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah, Norizan berkata, Perak masih dihantui dengan beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki segera.

“Kelemahan itu perlu diperbaiki segera supaya ia tidak menjejaskan persembahan pasukan pada perlawanan akan datang,” jelasnya.

Perak akan bertandang ke Stadium Darul Aman untuk berdepan dengan Kedah pada 15 Februari ini.

Skuad bimbingan Norizan itu naik ke tangga kedua daripada kedudukan kelima liga dengan mengutip tujuh mata dan mempertahankan rekod tanpa kalahnya.

Sebaliknya, kekalahan pertama Negeri Sembilan itu menyebabkan mereka turun ke tangga keempat daripada takhta liga dengan mengumpul enam mata daripada tiga perlawanan.

Perak memperoleh gol pertama hasil sepakan penalti Shahrul Nizam Mustapa pada minit ke-50 apabila Akmal Rizal Rakhli dijatuhkan dalam kotak penalti.

Kedudukan Perak semakin kukuh apabila kegagalan dua pertahanan Negeri Sembilan menampan bola dengan kemas di depan gol sendiri.

Kegagalan itu membolehkan Akmal Rizal merembat masuk gol kedua skuad Seladang pada minit ke-65.

Sementara itu, jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan memuji persembahan bertenaga yang dipamerkan pemain Perak sehingga memperolehi gol yang berharga itu.

“Berdasarkan persembahan yang dipamerkan itu, Perak layak merangkul tiga mata penuh,” jelas Wan Jamak.

sumber: kosmo
 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger