Ahad, 13 Februari 2011

Kayuhan emas Rizal Tisin

KORAT, Thailand – Buat pertama kali, lagu Negaraku berkumandang di Velodrom Kompleks Sukan Korat semalam. Selepas tiga hari Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2011 berlangsung akhirnya pelumba elit negara, Mohd. Rizal Tisin berjaya meraih pingat emas pertama buat kem Malaysia menerusi acara kegemarannya, 1 kilometer ujian masa lelaki.

Lebih menarik, kejayaan tersebut menyaksikan Rizal kembali menggenggam pingat emas dalam acara yang sama selepas dia ditabalkan juara pada ACC 2008 di Nara, Jepun.

Pada edisi 2009 di Banjarmasin, Indonesia, Rizal gagal mempertahankannya selepas terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Bagaimanapun, pada ACC 2010 di Sharjah, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Rizal tidak menyertai acara 1km ujian masa kerana baru pulih daripada kecederaan selepas terlibat dengan kemalangan.

Namun selepas dua tahun menanti, Rizal kembali menyerlah sebaik sahaja mengetahui dia muncul sebagai juara baru pada kejohanan yang telah memasuki edisi ke-31 itu.

“Syukur, kerana penantian saya selama ini sudah berakhir. Sudah lama saya mengimpikan kejayaan sebegini dan saya cukup gembira kerana sudah dapat melunaskan hajat saya,” jelas Rizal ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat semalam.

Pada saingan semalam, Rizal mencatatkan masa 1 minit 04.953 saat diikuti pencabar utamanya yang juga pemegang rekod Asia dari China, Zhang Miao (1:05.949s) dan pelumba Korea Selatan, Han Jaeho (1:07.109s).

Jelas Rizal, sebelum perlumbaan bermula, dia yakin untuk sekurang-kurangnya membawa pulang pingat perak kerana menyedari Zhang Miao mampu menjadi pemusnah dalam misinya meraih emas.

“Ada beberapa sebab saya gembira dengan kejayaan hari ini (semalam). Pertamanya, saya sudah berjaya melunaskan dendam terhadap Zhang Miao kerana dia yang telah memecah rekod (Asia) saya dalam acara ini. Selain itu, dia juga merupakan juara bertahan.

“Keduanya, saya dapat merampas kembali pingat emas yang saya menangi di Nara, Jepun dalam acara ini (1km ujian masa lelaki). Semua ini cukup memberikan kepuasan yang tidak terhingga kepada saya,” jelas pelumba kelahiran Klang, Selangor ini.

Sebagai rekod, Rizal yang membuat kemunculan sulung bersama skuad junior negara pada ACC 2002 di Bangkok, Thailand, telah mengumpul koleksi sembilan pingat ACC termasuk dua pingat yang dimenanginya di Korat.

Antara pencapaian terbaiknya ialah memenangi emas dalam acara keirin pada ACC 2006 di Kuala Lumpur manakala edisi 2010 menyaksikan Rizal membawa pulang emas (pecut berpasukan) dan perak (1km ujian masa).

“Alhamdulillah kerana penampilan saya dalam ACC tidak pernah menghampakan kecuali pada edisi 2007 dan 2010 apabila saya gagal meraih sebarang pingat. Apa pun, kejayaan hari ini (semalam) amat bermakna buat saya,” katanya.

Jika diimbas kembali, Velodrom Kompleks Sukan Korat bukan asing buat Rizal kerana venue yang sama menjadi saksi dia membawa pulang dua pingat emas pada temasya Sukan SEA 2007.

Ketika itu, Rizal menjuarai acara 1km ujian masa dan pecut berpasukan.

“Mungkin sudah tuah saya apabila beraksi di Korat,” jelas Rizal yang turut menyumbang pingat gangsa dalam acara berpasukan pada hari pembukaan ACC 2011, Rabu lalu.

Sementara itu, pelumba wanita, Fatehah Mustapa turut tidak menghampakan kem Malaysia apabila menyumbang pingat gangsa dalam acara 500m ujian masa.

Fatehah mencatat masa 37.016s manakala pemenang pingat emas dari Hong Kong, Lee Wai Sze (35.414s) dan pemenang pingat perak dari China, Guo Shuang (36.363s).

“Selepas kecewa gagal meraih pingat pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China, hari ini (semalam) saya sudah melupakan kekecewaan itu. Tak kisahlah apa warna pingat yang saya menangi tetapi ini sudah cukup baik buat saya. Saya harap kejayaan ini akan memberikan motivasi kepada saya,” kata Fatehah.
 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger