Sabtu, 12 Februari 2011

Harimau Muda uji 'kekuatan' sebelum jumpa Pakistan

SKUAD Olimpik negara, Harimau Muda A bakal menjadikan dua aksi Liga Super bertemu T-Team di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam ini dan Perlis pada Selasa depan sebagai medan menguji kekuatan sebelum menghadapi Pakistan, 23 Februari depan.

Jurulatihnya, Ong Kim Swee (gambar) berkata, dia perlu menggunakan dua perlawanan tersebut bagi menguji barisan pemainnya selain taktikal baru yang ingin disesuaikannya menjelang aksi pusingan pertama kelayakan Olimpik 2012 itu.

"Saya baru pulang dari Bangkok semalam (kelmarin) untuk 'mengintai' perlawanan persahabatan di antara skuad Olimpik Thailand dan skuad Olimpik Pakistan pada Rabu lalu.

"Biarpun Pakistan tewas 1-2, saya lihat mereka sebuah pasukan yang cukup bagus, tersusun dan berdisipilin. Mereka mempunyai strategi mengikut kekuatan sendiri.

"Mereka banyak menggunakan hantaran jauh. Jadi saya akan buat sedikit perubahan taktikal untuk disesuaikan dengan corak Pakistan dan ia akan diuji apabila kita bertemu T-Team dan Perlis," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Namun Kim Swee terpaksa 'mengorbankan' aksi pusingan pertama Piala FA menentang SDM Navy pada Jumaat depan untuk mengelak kemungkinan berlaku kecederaan terhadap pemainnya menjelang aksi bertemu Pakistan itu.

"Saya akan turunkan pemain simpanan bertemu SDM Navy tetapi itu bukan bermakna saya pandang rendah lawan. Tapi kami mempunyai misi lebih utama iaitu kelayakan Olimpik.

"Ketika ini pun saya terpaksa melupakan terus penyerang utama, Izzaq Faris Ramlan yang memerlukan dua minggu untuk pulih daripada kecederaan hamstring. Saya tak mahu ada pemain lain pula yang cedera," jelasnya.

Daripada 30 pemain Harimau Muda A ketika ini, Kim Swee hanya akan menyenaraikan 20 pemain untuk aksi bertemu Pakistan termasuk lima pemain 'luar' terdiri daripada Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan), Ahmad Shakir Md. Ali (Kedah), Faizal Abu Bakar (Kedah) dan D. Saarvindran (Harimau Muda B).

"Mujur Negeri Sembilan dan Kedah mendapat bye pusingan pertama Piala FA. Jadi mereka mungkin dapat menyertai latihan kita bermula Rabu depan manakala Khairul Fahmi pada Sabtu depan selepas Kelantan bertemu T-Team."

Skuad Olimpik negara akan bertemu Pakistan di Stadium Shah Alam pada 23 Februari sebelum beraksi di tempat lawan pada 9 Mac.

sumber: kosmo
 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger